Sabtu, 17 September 2016

Projek sekolah sukan Perlis RM140j terbengkalai, rakyat terus alami kerugian

 MOHDALI HASHIM
 
 
Pengerusi Parti Amanah Negeri Perlis Wan Kharizal Wan KazimPengerusi Parti Amanah Negeri Perlis Wan Kharizal Wan Kazim


Kegagalan Kementerian Pendidikan untuk menyiapkan Sekolah Sukan Perlis di Bukit Chabang, Padang Besar, yang menelan kos sebanyak RM140 juta membuktikan betapa lemahnya kerajaan (Barisan Nasional ) BN yang memerintah tatkala ini.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perlis, Wan Kharizal Wan Kazim.

Menurutnya lagi bukan saja papan kenyataan kementerian tersebut telah tertanggal, sebaliknya projek tersebut menjadi projek gajah putih yang merugikan wang rakyat.

"Sekiranya projek tersebut dapat disiapkan segera, ia banyak memberi manfaat kepada generasi muda untuk menjadi pelapis dalam arena sukan negara.

"Ketidakseriusan kerajaan menyiapkan projek pendidikan berteraskan sukan tersebut menyerlahkan lagi kelemahan kerajaan yang dipimpin oleh BN.

"Mungkin akan ada lagi perasmian dan pelancaran ditapak sekolah yang sudah dihuni oleh hutan belantara tersebut menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang akan datang, " ujarnya lagi.

Wan Kharizal juga berkata, projek tersebut juga akan dilengkapi dengan pembinaan kuarters warden, kantin, lapang sasar, memanah berbumbung, gelanggang terbuka, astaka, dewan badminton dan pelbagai lagi kemudahan.

Namun begitu sehingga kini, tiada perkembangan positif yang menunjukkan pembinaan sekolah sukan tersebut akan diteruskan.

Jelasnya lagi, kegagalan menyiapkan projek tersebut juga harus menjadi penilaian kepada rakyat khususnya dalam kawasan Dun Titi Tinggi dan Parlimen Padang Besar menjelang PRU yang akan datang.

"Sekolah sukan ini merupakan salah satu dari puluhan projek kelemahan kepimpinan kerajaan BN yang menerajui negeri Perlis.

"Jutaan wang dikeluarkan, tetapi projek tidak menjadi kenyataan sehingga menghampakan harapan rakyat untuk memanfaatkan janji-janji yang dibuat sebelum ini.

"Yang mereka tahu, luluskan projek, kayakan kroni dan kontraktor dari suku-sakat mereka, " jelasnya lagi.

Malah katanya terdapat begitu banyak lagi projek yang turut terbiar sehingga memerlukan dana yang besar untuk dibaik pulih oleh kerajaan.

"Sebagai bukti ladang anggur di Sungai Batu Pahat yang suatu ketika menjadi tarikan pelancong kini terlalu daif, reput dan terbiar.

"Taman Burung hanya tinggal kenangan sahaja, sedangkan haiwan yang memenuhi taman tersebut pada hakikatnya hanya tinggal nama sahaja.

"Dataran Terinai di Empangan Timah Tasoh juga tidak lagi menjadi daya tarikan pelancong, sunyi dan sepi tanpa perhatian serius kerajaan negeri, " tambahnya lagi.

Selain itu katanya, Taman Ular serta Gua Kelam juga sepatutnya diberi perhatian kerana terlalu banyak wang yang telah dilambakkan sebelum ini bagi menjadikan ia sebagai destinasi pelancongan di Perlis.

"Bangunan Projek Industri Kecil dan Sederhana di Batu Bertangkup, Chuping, juga merugikan apabila ia tidak dapat dimanfaatkan sehingga sekarang.

"Begitu juga dengan janji untuk membina Hospital Padang Besar dengan kos RM198 juga dalam Rancangan Malaysia Ke 9 hanya tinggal impian yang tidak menjadi kenyataan hingga kini.

"Oleh kerana itu, rakyat Perlis harus bangkit dan menyedari bahawa kerajaan BN Perlis yang menerajui kepimpinan tidak berjaya mengotakan janji-janji PRU, " tegasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, Amanah bersama-sama dengan Pakatan Harapan harus diberi peluang untuk menunjukkan tatacara membela nasib rakyat melalui pilihan raya umum yang akan datang.

Tiada ulasan: