Khamis, 1 September 2016

Pokemon Go umpama dadah


DETIK DAILY
 



PETALING JAYA : Pokemon Go diumpamakan seperti dadah kerana ia menyebabkan ketagihan kepada pemainnya, kata Pakar Psikologi dan Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor.


Beliau berkata permainan aplikasi maya yang menjadi kegilaan ramai sejak awal bulan lalu itu menyebabkan ketagihan kerana visualnya berwarna-warni dan dilengkapi dengan pergerakan.

“Pokemon Go juga boleh mengkhayalkan pemain kerana ia memberi arahan dalam bentuk visual. Saya sendiri tengok, saya sendiri cuba main, saya memang tutup, tak nak main.

“Dalam permainan ini, ia dibuat dalam bentuk visual dan biasanya manusia akan lebih mudah tertarik dengan cara itu berbanding perkataan ataupun arahan,” katanya.

Tinjauan FMT baru-baru ini di Taman Jaya iaitu kawasan rekreasi utama di tengah bandar raya Petaling Jaya mendapati ia menjadi tumpuan ramai penggemar permainan itu, sedangkan selama ini taman itu lengang pada waktu malam.

Dalam tinjauan jam 2 pagi itu, sekurang-kurangnya 50 orang sedang asyik dengan permainan yang merupakan aplikasi paling banyak dimuat turun sekarang iaitu hampir menandingi aplikasi Whatsapp dan Facebook.

Mariani berkata daripada segi psikologi, apabila pemain Pokemon Go ini bermain sehingga awal pagi, ia akan menyebabkan individu tersebut lemah dan tidak produktif pada waktu siang.

“Masalah kedua ialah sosialisasi, maksudnya pemain yang ada pekerjaan bergaul dengan golongan tidak bekerja akan menyebabkan produktiviti serta pergaulan sosial dengan keluarga dan rakan sekerja berkurangan,” katanya.

Tiada ulasan: