Sabtu, 17 September 2016

Majikan Mangsa Culik Terima Panggilan Minta Wang Tebusan


 
 
 
TAWAU: Majikan kepada tiga warga Filipina yang diculik tujuh lelaki bersenjata di perairan Pulau Pom Pom di Semporna Sabtu lepas menerima panggilan meminta wang tebusan bernilai 2 juta Peso (RM180,000).

Karim Musappa, 30, berkata beliau menerima panggilan daripada seorang mangsa culik Masurin, 50-an, pada Isnin lepas dan menyebut mengenai wang tebusan yang diminta penculik.

"Saya terima panggilan pada Hari Raya Haji pada pukul 7.55 pagi...penculik menjadikan mangsa (Masurin) sebagai orang tengah untuk berkomunikasi dan meminta wang tebusan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata laporan polis dibuat sejurus selepas menerima panggilan telefon tersebut.

Karim berkata isteri kepada seorang daripada mangsa culik itu turut menerima panggilan telefon baru-baru ini meminta wang tebusan yang perlu diberi hingga 19 September ini.

Sekiranya gagal, kepala mangsa akan dipotong," katanya dan menambah kesemua mangsa dipercayai berada di selatan Filipina di Jolo.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun mengesahkan pengadu menerima panggilan telefon tersebut namun enggan mengulas butirannya kerana polis masih menyiasat kesahihan panggilan telefon yang diterima itu.

Abdul Rashid berkata difahamkan semua mangsa dalam keadaan selamat dan polis akan terus menyiasat kes itu. Tiga yang diculik di atas kapal Putera itu dikenali sebagai Loloi Alpin, 30, Sami, 30-an, dan Masurin, 50-an, masing-masing warga Filipina tetapi memiliki dokumen IMM13 dan Surat Banci daripada Pasukan Petugas Khas. 

Mereka diculik tujuh lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 13 lagi anak kapal di perairan berkenaan kira-kira 10.40 malam pada 10 September lepas.  -Bernama

Tiada ulasan: