MALAYSIAKINI
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, kebajikan pesara tentera
akan menjadi agenda utamanya menjelang beberapa bulan akan datang
sebelum kemungkinan dirinya dijatuhkan hukuman penjara atas tuduhan
mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Rafizi untuk
membela diri atas tuduhan membocorkan dokumen sulit berkaitan dengan
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Oleh kerana saya juga sedar saya mungkin mempunyai masa beberapa
bulan sahaja lagi sebelum dijatuhkan hukuman penjara, saya telah umumkan
bahawa hal ehwal kebajikan pesara tentera adalah antara agenda utama
saya.
“Saya akan melawat setiap kem tentera yang besar di seluruh Malaysia
dan akan memenuhi jemputan kumpulan-kumpulan pesara tentera yang
menjemput saya berdialog dengan mereka melalui program yang diberi nama
Hargai Perajurit: Misi Angkat Kebajikan Perajurit,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dialog pertama akan diadakan di Setiawangsa iaitu
berdekatan kem tentera utama di Lembah Klang pada 7 September ini dan
diikuti dengan acara yang sama di Lumut, Butterworth, Kuantan, Telok
Kemang dan beberapa lokasi lain.
Rafizi, yang juga adalah naib presiden PKR, telah beberapa kali
membangkitkan isu kelewatan pembayaran oleh LTAT kepada pesara tentera.
Katanya, beliau terus menerima aduan seumpama itu setakat ini
sedangkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak
pernah memberi maklumbalas mengenai masalah yang ditimbulkanya.
“Terbaru, saya akan mengemukakan 95 lagi senarai pesara-pesara yang
belum menerima bayaran caruman mereka kepada LTAT dan UGAT untuk
diselesaikan segera kerana mereka telah menunggu lama untuk mendapatkan
hak mereka,” katanya.
Rafizi yang juga adalah ahli parlimen Pandan berdepan dengan dua
pertuduhan menmgikut OSA kerana didakwa mendedahkan dokumen sulit di
lobi Parlimen pada 24 Mac.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 8 (1) (c) (iii) akta itu yang
memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika didapati
bersalah.
Rafizi juga didakwa mengikut Seksyen 8 (1) (c) (iv) akta sama, yang
memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun maksimum jika sabit
kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan