Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi
menyindir ADUN Salor, Datuk Husam Musa yang mengaitkan perjuangan parti
yang baru disertainya, Amanah kononnya menyamai perjuangan bekas
Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.
ADUN Wakaf Bharu itu dengan tegas berkata, Allahyarham Nik Aziz tidak
pernah sesekali mengkhianati perjuangan Islam, jauh sekali mengkhianati
perjuangan parti yang dipimpinnya sebagaimana yang dilakukan Amanah pada
hari ini.
"(Allahyarham) Tok Guru (Nik Aziz) tak pernah khianat dengan perjuangan
Islam, Tok Guru tak pernah bawa lari kerusi orang Islam. Kalau nak
sebut, nama Amanah, perkataan Amanah itu sendiri sekarang ini macam
kotor sikit.
"Orang nak sebut amanah pun tak mahu sebab dikaitkan dengan parti itu, sedangkan amanah ini sifat Rasulullah S.A.W.
"Kalau nak sebut, orang yang melarikan kerusi, orang yang langgar
baiah, orang yang kena (tindakan) disiplin, untuk nak dikatakan dengan
amanah, memang tak (sesuai)," sindirnya.
Husam, yang menyertai Amanah beberapa hari lalu berkata, mana-mana ahli
PAS yang mahu mencontohi perjuangan Allahyarham Nik Aziz perlu
menyertai Amanah kerana perjuangan parti itu menyamai kehendak
perjuangan Islam yang diamalkan ulama itu.
Bekas Naib Presiden PAS itu juga melahirkan keyakinannya bahawa Amanah
mampu menyelamatkan Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Mengulas berhubung perkara itu, Che Abdullah berkata PAS Kelantan
'tidak akan duduk diam' dan sentiasa bersiap sedia menghadapi mana-mana
pihak yang cuba untuk merampas kerajaan negeri.
"Apa-apa saja yang jadi ancaman kepada kerajaan Islam Kelantan, kita tak akan ambil ringan," ujarnya.
Husam sebelum ini dilaporkan bakal ditawarkan memikul tanggungjawab
mengepalai Amanah Kelantan demi merampas kerajaan negeri yang dipimpin
PAS.
Tawaran berkenaan ekoran Amanah Kelantan meyakini pengalaman Husam yang
didakwa mampu membawa perubahan kepada politik di negeri berkenaan.
"Belum dapat dilihat. Maknanya, pengalaman beliau dalam pimpinan PAS
Kelantan, sebahagian besar pemimpin PAS Kelantan sudah pun mengenali
cara beliau dan sebagainya. Hari ini beliau dengan pasukan lain. Kita
akan hadapi," katanya, mengulas mengenai 'prestasi' bekas pemimpin PAS
itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan