Khamis, 1 September 2016

Ekonomi negara: Nazir pesan hati-hati, Najib pula ucap syukur

ARIF ATAN
 
 
Najib dan Nazir RazakNajib dan Nazir Razak


Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak mengakui ekonomi Malaysia semakin perlahan dengan pertumbuhan sekitar empat peratus pada tahun ini.

“Dunia sekarang berada dalam era pertumbuhan struktural yang rendah. ‘Hari bersuka ria’ sudah berlalu dan ia akan mengambil banyak tahun untuk menyaksikan pertumbuhan tinggi kembali di dunia ini sekali lagi,” dipetik daripada laporan sebuah akhbar hari ini.

Menurutnya, seluruh dunia terpaksa melalui pertumbuhan ekonomi perlahan kerana bebanan terlalu banyak hutang yang merupakan masalah asas sistem dunia hari ini.

Nazir berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Kebangsaan bersama Touch ‘n Go di NZ Curry House di Wangsa Maju, ibu negara, semalam.
“Saya berpendapat kita sekarang berhadapan persekitaran luaran yang amat sukar. Maka berhati-hatilah. Jangan berbelanja berlebihan kerana keadaan akan menjadi sukar bagi Malaysia dan seluruh dunia,” pesan Nazir.
Peringatan Nazir yang juga adik kepada Perdana Menteri itu hanya selepas dua hari CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group) mengumumkan penutupan 23 cawangannya sebagai langkah mengurangkan perbelanjaan operasi.

Bagaimanapun, lain pula dengan Najib Razak, ekonomi negara digambarkan dalam keadaan baik dengan memberitahu bahawa Program Transformasi Ekonomi atau ETP, menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara telah berjaya mencapai angka 111 peratus KPI.

“Kini DTN (Dasar Transformasi Nasional) telah masuk tahun ketujuh pelaksanaannya, dan terus membuahkan hasil yang begitu memberangsangkan.
“Ini semua bukan sekadar omong kosong, akan tetapi fakta dan angka pencapaian, diabsahkan serta dipersahihkan oleh badan penarafan berwibawa pada peringkat antarabangsa.
“Mutakhir ini, meskipun kita menghadapi ketidaktentuan dan kesuraman ekonomi global, KDNK pada suku kedua tahun ini, Alhamdulillah, Malaysia tetap berjaya mencatat perkembangan sebanyak empat peratus,” ujar Najib dalam Amanat Hari Kebangsaan 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur malam 31 0gos lalu.

Tiada ulasan: