Sabtu, 17 September 2016

Bersih 5: Lebih baik bersihkan KL daripada desak Najib, kata Nazri Aziz

 
Menteri turut mengingatkan Bersih supaya patuhi peruntukan Akta Perhimpunan Aman (APA) seperti mendapatkan izin pemilik tempat terlebih dahulu.



nazri


JELEBU: Lebih baik adakan kempen membersihkan Kuala Lumpur daripada mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Nazri Aziz.

Jelasnya kempen kebersihan adalah lebih bermanfaat berbanding gabungan pemantau pilihan raya turun ke jalanan melakukan perkara yang sama berulang kali.

“Kita tiada masalah dengan Bersih 5. Bahkan, saya yang bentangkan Akta Perhimpunan Aman (APA) kerana saya percaya pada demokrasi, dan ruang perlu diberi kepada mereka yang mahu menyuarakan ketidakpuasan hati.

“(Tetapi) eloklah jika (Bersih 5) dibuat untuk tujuan lain selain daripada yang pernah dilakukan sebelum ini. Jika kamu mahu adakan kempen ‘bersih’, apa kata kita buat program bersihkan kawasan Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui FMT hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas penganjuran Bersih 5 pada 19 November depan yang antara lain menuntut penyingkiran Najib.

Nazri berkata hanya satu cara untuk menyingkir Najib secara sah iaitu melalui pilihan raya, bukan tunjuk perasaan jalanan.

Beliau turut mengingatkan Bersih supaya mematuhi peruntukan APA, seperti mendapatkan izin daripada pemilik tempat terlebih dahulu.

“Macam Dataran Merdeka, pemiliknya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Kalau DBKL kata ‘okay’, ‘okaylah’.

“Katalah kalau nak buat di rumah perdana menteri, tanyalah kerajaan Malaysia.

“Atau nak buat di rumah Anwar (bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim) di Segambut, tanyalah Anwar.”

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: