Ahad, 4 September 2016

Bayi lelaki ditemui dalam longkang


Bayi lelaki ditemui dalam longkang
Bayi lelaki ditemui dalam longkang


KUALA LUMPUR - Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan tidak berpakaian di longkang berhadapan sebuah rumah di Jinjang Selatan Tambahan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata, bayi yang masih bertali pusat itu ditemui seorang remaja berusia 16 tahun pada jam 10.58 pagi, kira-kira 10 meter dari rumahnya.

Menurutnya, remaja berkenaan pada mulanya merasa curiga apabila anjing yang dipelihara menyalak.

"Remaja itu curiga apabila anjingnya tidak berhenti menyalak, lalu keluar memeriksa tetapi tidak menemui apa-apa.

"Dia kemudian mengikut anjingnya ke longkang di hadapan rumah sebelum menemui bayi yang masih bertali pusat tanpa seurat benang dalam sebuah kotak.

"Ketika ditemui, bayi itu menangis kelaparan dan remaja berkenaan menghubungi talian 999 bagi mendapatkan bantuan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Munusamy, pemeriksaan mendapati bayi itu sihat dan kini berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau talian 03-40400781 /03-40400782 bagi membantu siasatan.


Tiada ulasan: