Rabu, 22 Jun 2016

Yapeim salur bantuan RM2.2juta kepada pelajar miskin sambut hari raya

 BERNAMA
 
 
Datuk Asyraf Wajdi DusukiDatuk Asyraf Wajdi DusukiYayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyumbangkan bantuan kepada kira-kira 13,000 pelajar miskin di seluruh negara bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata yayasan itu memperuntukkan RM2.2 juta bagi menjayakan program berkenaan secara serentak di seluruh negara, mulai semalam.

"Sebanyak 1,000 pelajar miskin terpilih di setiap negeri mendapat bantuan itu untuk membeli keperluan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan berkenaan peringkat negeri Kelantan di Masjid Ibrahimi di sini, malam tadi.

Turut Hadir, Ketua Pengarah YaPEIM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abibullah Samsudin.

Asyraf Wajdi berkata peruntukan untuk program itu adalah daripada keuntungan hasil aktiviti perniagaan yang diusahakan yayasan tersebut.

"Ia sebahagian daripada usaha memperkasakan program kebajikan dan tanggungjawab yayasan itu membantu golongan miskin yang memerlukan bantuan," katanya.

Beliau berkata mulai sekarang, agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri diarah menguar-uarkan kepada umum mengenai aktiviti sosial yang mereka lakukan tanpa berselindung untuk mengelak fitnah.

"Selama ini aktiviti-aktiviti agensi agama kurang mendapat publisiti menyebabkan ada yang mempersoal dan memfitnah ke mana wang dibelanjakan," katanya.

Tiada ulasan: