BERNAMA
Waris
kepada enam anak kapal pesawat MH17 hari ini memfailkan saman kecuaian
dan pelanggaran kontrak terhadap Malaysia Airlines System (MAS) dan
Malaysia Airport Berhad (MAB) berhubung kehilangan anggota keluarga
mereka dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, 17 Julai 2014.
Waris kepada Shazana Mohamed Salleh, Hamfazlin Sham Mohamed Arifin,
Sanjid Singh Sandhu, Mohd Ghafar Abu Bakar, Lee Hui Pin dan Chong Yee
Pheng memfailkan saman itu melalui Tetuan Thomas Philip di pejabat
Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini.
Mereka menamakan MAS dan MAB sebagai defendan pertama dan kedua.
Mengikut pernyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa MAS telah
cuai kerana melaksanakan penerbangan MH17 di kawasan yang diketahui
berada di bawah konflik bersenjata yang menimbulkan risiko bahaya dan
kematian.
Mereka mendakwa kedua-dua defendan melaksanakan penerbangan kurang
daripada 1,000 kaki atas ruang udara yang disekat dalam penerbangan itu
iaitu ketinggian yang tidak digunakan oleh pesawat lain.
Plaintif mendakwa MAS juga telah cuai kerana menghantar dan
melaksanakan penerbangan MH17 di bahagian paling utara Koridor
Penerbangan Komersial Ukraine, gagal mempunyai apa-apa sistem penilaian
risiko dan gagal mengambil kira ketidakstabilan berkenaan penerbangan di
bahagian timur Ukraine.
Mereka juga mendakwa MAS telah melanggar kontrak dalam memastikan
keselamatan, kesihatan dan kebajikan si mati, gagal memastikan terdapat
kakitangan untuk penilaian risiko, anak kapal penerbangan dan
kakitangan operasi.
Kesemua plaintif menegaskan bahawa defendan kedua iaitu MAB
bertanggungjawab di sisi undang-undang dan fakta untuk menanggung
kerugian plaintif dan menjamin pembayaran ganti rugi yang diperintah
untuk dibayar oleh MAS kepada plaintif.
Mereka juga menegaskan bahawa MAS dan MAB bertanggungjawab di bawah
peruntukan Akta Pengangkutan Melalui Udara 1974, Konvensyen Montreal
1999 dan/atau Akta Undang-undang Sivil 1956 untuk kematian si mati.
Mereka memohon ganti rugi am untuk kesakitan dan penderitaan, ganti
rugi khas, ganti rugi menurut Akta Pengangkutan Melalui Udara 1974,
ganti rugi menurut Akta Undang-Undang Sivil 1956 dan ganti rugi bagi
kecederaan psikiatri trauma, kejutan saraf dan gangguan tekanan trauma.
Plaintif juga menuntut ganti rugi teruk, teladan, faedah, kos dan
apa-apa relif lanjut dan/atau perintah yang difikirkan sesuai oleh
mahkamah.
Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam
perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine
berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.
Dipercayai pesawat Boeing 777 itu telah ditembak jatuh tetapi sehingga hari ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan