Syarat yang dikenakan, kawasan masjid dan sekitarnya
diberi kemudahan WiFi percuma dan pulangan mengikut keuntungan yang
mereka dapat.
NILAI: Syarikat telekomunikasi akan dibenarkan menggunakan menara masjid dan surau di Negeri Sembilan sebagai menara pemancar telekomunikasi mereka dalam masa terdekat.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini sebagai salah satu usaha menarik minat golongan muda dan masyarakat setempat untuk pergi ke masjid.
“Syarikat telekomunikasi ini nanti akan dibahagikan mengikut zon untuk dipasang menara pemancar mereka di menara masjid.
“Namun kita kenakan syarat, iaitu kawasan masjid dan sekitarnya diberi kemudahan WiFi percuma dan pulangan mengikut keuntungan yang mereka dapat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pusat Komuniti Islam, Bandar Enstek dekat sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Kumpulan TH Properties Datuk Azizan Abd Rahman.
Mohamad berkata Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Jabatan Agama Islam negeri sedang dalam peringkat membuat bancian masjid dan surau yang mempunyai menara sebelum membahagikannya mengikut zon yang ditetapkan.
Mohamad turut menegur segelintir jawatankuasa masjid yang membuat aktiviti di masjid tanpa pengetahuan Jabatan Agama Islam negeri.
“Saya nak beritahu jawatankuasa masjid ini, masjid bukan milik anda, ia milik Jabatan Agama Islam, jawatankuasa dibenar menguruskan sahaja,” katanya.
Sementara itu, Azizan berkata Pusat Komuniti Islam yang bernilai RM6.47 juta ini akan dijadikan sebagai pusat untuk keperluan kebajikan, pendidikan, keagamaan dan kebudayaan umat Islam serta masyarakat setempat.
Pusat komuniti ini dilengkapi dengan dewan serbaguna dan empat kelas yang dapat dimanfaatkan oleh 11,500 penduduk setempat.
“Masjid Bandar Enstek juga bakal didirikan di tapak bersebelahan Pusat Komuniti Islam ini.
“Pelan pembangunan masjid telah diluluskan dan pembinaannya bakal menelan kos sebanyak RM8.6 juta,” katanya.
Sejak pelancaran Bandar Enstek pada 2000, TH Properties telah membangunkan 46 peratus daripada keseluruhan bandar itu dan ia dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
Bandar Enstek merangkumi komponen kediaman, komersial, institusi dan industri dengan nilai pembangunan kasar RM9.2 bilion.– BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan