Rabu, 1 Jun 2016

Semua ahli Parlimen Islam patut sokong usul tingkatkan kuasa Mahkamah Syariah

Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani W. M. Azhar
Post Pic
 
 
PASIR PUTEH: Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) meminta agar Ahli Parlimen beragama Islam menyokong pembentangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk meminda Akta 355 yang dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat, Oktober depan. 
 
Ketua DUPP, Datuk Mahfodz Mohamed itu berkata, tidak ada sebab mengapa Ahli Parlimen berkenaan menolak usul yang hanya mahu mempertingkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah, dan bukan bersabit pelaksanaan hudud.
 
"Kita minta semua wakil rakyat terutama Islam dan bukan Islam, dan kita harap-harap dapat sokongan majoriti mudah.
 
"Kalau takut sangat dengan hudud, kita tak bentangkan hudud, kita hanya meningkatkan martabat mahkamah (syariah). Jadi tidak ada sebab mengapa orang Islam tak sokong sebab ia (bidang kuasa Mahkamah Syariah) ada sebelum merdeka. 
 
"Kalau dulu contohnya, semua hukuman dalam Mahkamah Syariah hanya RM500, kemudian naik kepada RM1,000 kemudian RM3,000. Jadi semua akta menghadapi perubahan, ada sesetengahnya memakan masa yang lama, ini lebih dari sepuluh tahun. Tapi akta yang lain kadang dua atau tiga bulan (saja pinda) jika tak sesuai. Kita harap kepada ahli Parlimen kerana kita dah terangkan kepada orang ramai mengenai pindaan itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian Muktamar Tahunan DUPP kali ke-55 di sini, malam tadi.
 
Tambahnya, kekaburan berhubung akta itu menyebabkan ramai berpandangan ia adalah berkaitan hudud, sedangkan hukum jenayah syariah itu memerlukan sokongan dua pertiga dewan sebelum diluluskan.
 
"Kalau pun dinaikkan nanti dari segi hukuman itu, maknanya akan setara dengan mahkamah sesyen. Jadi tak ada melibatkan apa-apa. Sebab itu kita buat usul.. kalau kelulusannya hanya perlu majoriti mudah, bukan dua pertiga. Jika mahu laksana hudud barulah dua pertiga (sokongan)," ujarnya.
 
Khamis lalu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan RUU Persendirian bagi meminda Akta 355, yang mana menyaksikan ia mendapat bantahan daripada parti politik lain khususnya MCA, MIC dan Gerakan.
 
Malah kepimpinan parti-parti berkenaan mengugut untuk melepaskan jawatan masing-masing sekiranya kerajaan meluluskan enakmen berkenaan di Dewan Rakyat.
 
RUU berkenaan bagaimanapun ditangguhkan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia setelah Hadi meminta agar semua Ahli Parlimen diberi masa untuk meneliti isi kandungannya sebelum ia dibahaskan sidang akan datang.
 
 

Tiada ulasan: