Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
SHAH ALAM: Pemecatan dua pemimpin Umno daripada parti itu tidak memberi
kesan kepada ahli-ahlinya jika mereka menghayati perjuangan politik
Umno yang sebenar.
Itu ditegaskan oleh Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia
(Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman apabila diminta mengulas pemecatan
Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada Umno,
berkuatkuasa semalam.
"Kerana jelas kedua-dua individu ini memihak kepada parti-parti lawan
yang menentang Umno. Maka saya tidak nampak bagaimana (sokongan)
ahli-ahli tulen dapat dipesongkan," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam memecat timbalan presiden dan bekas
Menteri Besar Kedah itu selepas melanggar disiplin parti dengan
mengeluarkan kenyataan yang memalukan Umno dan menyerang pimpinan
tertingginya.
Pemecatan itu diumumkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak selepas mempengerusikan Mesyuarat MT Umno, petang Jumaat.
Ujar Najib, tindakan itu juga diambil melihat kepada 'kemesraan'
Muhyiddin dan Mukhriz di atas pentas pembangkang dengan mengkritik isu
1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan sokongan mereka terhadap
Deklarasi Rakyat yang didokong Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu Abdul Aziz berpendapat, soal kesetiaan dua pemimpin
berkenaan menjadi persoalan besar dalam Umno memandangkan parti telah
memberi masa yang secukupnya kepada mereka.
"Kita merasakan terlalu lama kepimpinan Umno bersabar. Dan pada masa
yang sama beri peluang kepada Muhyiddin dan Mukhriz untuk menyertai
(kembali) kepimpinan tanpa menimbulkan masalah percanggahan perjuangan.
"Jelas menunjukkan seorang yang berpaling-tadah dalam perjuangan dengan
membantu kempen parti lawan. Perkara sebegini tak boleh dibiarkan
begitu sahaja dan tindakan terpaksa diambil untuk memecat mereka,"
ujarnya lagi.
Selain Muhyiddin dan Mukhriz, turut dikenakan tindakan daripada parti adalah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.
Beliau bagaimanapun hanya digantung jawatan sehingga laporan
jawatakuasa disiplin diterima, walaupun turut sama mengeluarkan
kenyataan lantang berkenaan 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan