Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Mujur
calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding bagi kerusi Parlimen Sungai
Besar minggu lalu bukan mewakili PKR. Jika tidak, keadaan dan citra
pakatan itu mungkin lebih tercalar.
Yang
nyata, penyokong-penyokong pembangkang di kawasan berkenaan terbahagi
dua – satu untuk PAS dan sebahagian lagi menyokong PAN. Bila digabung
jumlah undi pembangkang ialah 14,571.
Sudah tentu jumlah itu masih jauh berbanding bilangan yang dikutip oleh
calon BN, Budiman Zohdi sebanyak 16,800. Jika demikian, majoriti BN
ialah 2,229 undi berbanding 399 undi majoriti Allahyarhamah Noriah
Kasnon pada PRU13.
Yang pasti juga ialah, DAP telah sedaya upaya melobi pengundi Cina
supaya menyokong calon PAN, Azhar Shukor. Ini bererti baki undi Cina
hasil lobi MCA dan Gerakan pergi kepada calon BN dan bukan PAS.
Pada pilihan raya umum ke-13, calon PAS, Sallehan Mukhyi tewas dengan
399 undi sahaja. Ketika itu seluruh kerana jentera pembangkang dari PAS,
DAP dan PKR bertumpu dan berpadu menyokong calon PAS berkenaan.
Keputusan itu memberi gambaran bukan betapa PAS diterima baik oleh
semua kaum ketika itu tetapi betapa utuhnya kerjasama pembangkang.
Namun jika PKR lah yang meletakkan calonnya di PRK Sungai Besar dan
bukan PAN dalam persaingan tiga penjuru itu, yang pasti undi yang bakal
diperolehinya berkurangan 6,902 kerana ia adalah undi penyokong tegar
PAS.
Sayugia diingat bahawa, sepanjang kempen PRK Sungai Besar, PAS
bersendirian. Justeru jumlah yang dikutip adalah mutlak daripada
penyokong-penyokongnya.
Bagaimanpun perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk calon PAN.
Sebilangan besar pengundi Melayu sudah berpihak pada BN dan juga PAS.
Ini bermaksud undi Melayu yang diperolehi oleh PAN adalah tidak
seberapa.
Yang membuat PAN nampak hebat walaupun bertanding pilihan raya pertama
kali di Semenanjung ialah undi Cina yang “dihadiahkan” oleh DAP. Jika
tidak PAN mungkin dapat tidak sampai separuh daripada jumlah 7,609 yang
diperolehinya.
Jika PKR letak calon, keputusan PRK pembangkang mungkin lebih teruk
Dalam senario PKR yang meletakkan calonnya pada PRK Sungai Besar,
keputusan lebih buruk mungkin dicatat parti itu. Pergeseran pimpinan PKR
bukan satu rahsia dan pengundi atas pagar mungkin menolak calon PKR.
Perihal
Azmin Ali segera berunding dengan pimpinan PAS meminta “izin dan restu”
hanya PKR meletakkan calon (dan bukan PAS) membuktikan betapa Azmin
mahu memungut dividen politik dalam partinya.
Jika PAS dapat diyakinkan supaya tidak bertanding secara “dipujuk atau
digertak” oleh Azmin, tentu Azmin berharap beliau dapat mengekalkan
profil Pakatan Rakyat seperti PRU 13 dan mendapat sokongan DAP dan kini
PAN.
Kini PRK itu sudah menjadi sejarah. Apapun jua PAS tetap mahu
bertanding di Sungai Besar. Pertandingan tiga penjuru tidak dapat
dielakkan. Pelan Azmin terbantut dan terpaksa merelakan PAN menurunkan
calonnya.
Apapun jika PKR mewakili PH, kemungkinan besar PAN akan kecewa dan
merajuk kerana PH sudah berjanji PAN berfungsi mengganti PAS dan semua
kerusi PAS akan jadi kerusi yang PAN patut tandingi.
Bila itu berlaku, calon PKR pasti tidak mendapat sokongan PAS dan PAN.
Ini ditokok bahawa kekecewaan dan dendam DAP akan “salah faham”
Pilihanraya Negeri Sarawak di mana DAP percaya Azmin puncanya, masih
belum reda.
Azmin berusaha meletakkan calon PKR untuk “menebus gangguan’ yang
dilakukannya dalam PRN Sarawak di mata pemimpin dan penyokong PKR. Jika
menang PRK Sungai Besar, mungkin dosanya itu boleh bertukar pujian.
Jika menang, tentu nama Azmin dijulang. Ini akan meletakkan Azmin dalam
posisi lebih baik untuk mencabar presiden PKR pada bila-bila masa
pemilihan diadakan selepas PRU 14.
Di samping itu, pasti juga timbul perkiraan mengapa DAP perlu membantu
melonjakkan nama Pengerusi PKR Selangor yang menyebabkan parti dominasi
Cina itu menanggung aib kecundang di Sarawak?
Natijahnya mungkin DAP tidak akan berusaha sekeras mana ia lakukan
membantu kempen calon PAN. Senario yang mungkin berlaku ialah calon PKR
akan mencatatkan keputusan lebih buruk lagi berbanding rekod calon PAN.
Kedudukan
kurang enak bagi pembangkang ini kini cuba ditutup dengan seruan dan
cadangan daripada pelbagai lapisan pimpinannya supaya kiambang politik
pembangkang PKR, DAP, PAN dan PAS bertaut kembali pasca PRK.
Timbalan Presiden PAS, Salahuddin Ayob dan Timbalan Pengerusi PKR
Selangor, Zuraidah Kamaruddin mahu rundingan damai dan kerjasama
digerakkan sebagai persiapan PRU 14. Namun DAP nampaknya tidak begitu
ghairah bincang soal ini.
Yang pasti, PAS tidak menunjuk minat turut melaksanakan usul berkenaan.
Ia hanya setuju menghidupkan semula strategi ‘satu lawan satu’
menentang BN jika ada jaminan bahawa PAS akan bertanding semula di semua
kerusi lamanya.
Di samping itu, PAS juga bertekad mengukuhkan blok politik ketiga
bersama parti IKATAN dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Berdasarkan keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, PAS yakin
peratus pengundinya yang sudah dihakis oleh PAN adalah tidak begitu
signifikan.
Bagaimanapun jika PKR masih berlagak parti peneraju PH tanpa Ketua
Umumnya, Anwar Ibrahim, DAP mungkin hilang selera mengikut nasihat dan
pimpinan PKR yang lemah dan mempunyai banyak masalah dalamannya sendiri.
PAN pula akan terus jadi penumpang dalam PH seraya berharap PKR menemui
‘kekuatan lamanya’ untuk terus memimpin PH di samping ia (PAN) mendapat
kepercayaan serta restu DAP bahawa kehadirannya (PAN) masih relevan.
PH perlukan hembusan tenaga daripada kepimpinan baru. Dalam senario
hari ini ketajaman pemikiran dan wawasan kepimpinan PH agak bercelaru
dan tepu. Agak nyata dalam PRK baru lalu ia tidak mempunyai modal baru.
Isu-isu lama masih digunapakai sedangkan rakyat semakin bersedia
menghadapi realiti bahawa soal sosio-ekonomi negara kini terkait dengan
pergerakan ekonomi dunia. Kempen memburukkan kerajaan kerana kelembapan
ekonomi seakan tidak laku.
Kelemahan ini memungkinkan mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamed
yang dirasuk dendam dan benci pada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak
mencelah masuk kem DAP, PKR dan PAN dengan muslihat mahu membantu PRK
lalu.
Sudah tiba masanya DAP, bercermin diri mengapa kebelakangan ini isu
ketelusan pentadbiran kerajaan Pulau Pinang seperti isu laluan terowong
dasar laut dan jambatan ketiga ditangani begitu lemah dan kabur.
Dalam PKR pula nampaknya isu ketelusan turut menghantui. Kes rasuah
bekas ahli parlimen Kapar P Manikavasagam, rasuah wang dan wanita dan
pergeseran dalam kepimpinan parti semakin rumit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan