Jumaat, 3 Jun 2016

PAS digesa gunakan DHPP tarik sokongan bukan Islam

Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
Post Pic
 
 
PENGKALAN CHEPA: Sebahagian orang bukan Islam memilih untuk menyertai PAS menerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kerana perjuangan parti itu berteraskan agama dan bukan perkauman, kata wakil dewan itu, Dr G. Balachandran.
 
Justeru katanya, adalah penting untuk PAS sentiasa melibatkan DHPP dalam pelbagai program parti bukan saja untuk menarik sokongan orang bukan Islam, tetapi lebih kepada menangani persepsi 'negatif' daripada orang bukan Islam terhadap parti itu.   
 
"Tolong bawa kita bersama supaya orang nampak kita. Sebab ramai yang tak boleh terima yang orang bukan Islam boleh bersama PAS. Sebab mereka diajar yang penting adalah bangsa. Bila jadi begitu, orang bukan Islam lagi takut.
 
"Kenapa kita bersama PAS? Kita bersama PAS sebab akidah perjuangan PAS berteraskan agama, bukan perkauman. Hidup Melayu takkan janji Islam selamat, tapi hidup Islam kita semua selamat," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-62, di sini, hari ini.  
 
Tambahnya, orang bukan Islam tidak perlu menjadi 'Islam' apabila bersama PAS.
 
Sebaliknya kata wakil berbangsa India itu, apabila bersama PAS, seseorang itu ditarbiahkan menjadi insan yang lebih baik. 
 
"Kita tak perlu jadi org Islam dalam PAS. Menjadi seorang Islam atau tidak, itu adalah hak Allah. Yang penting kita ditarbiahkan menjadi insan yang baik. Nilai kita sebagai Hindu, Buddha dan Kristian, kita jadi seorang yang lebih baik. Itu yg penting. Bila kita baik tiada tempat untuk kejahatan," katanya lagi.
 
Menyentuh soal pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian, kata beliau, pihaknya memahami bahawa ia adalah untuk meminda Akta 355 bagi mempertingkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
 
Beliau dalam pada itu mengkritik tindakan segelintir pihak yang menolak pembentangan pindaan akta berkenaan, kerana menyifatkan golongan berkenaan tidak memahami tujuan pembentangan RUU itu.  
 
"Walaupun sukar nak faham Islam, boleh panggil kita, kita boleh ajar dia.Sebab itu penting untuk kita diperkasakan," katanya.
 
 

Tiada ulasan: