PEKAN - Sebanyak 99,046 peneroka Felda di seluruh negara menerima hadiah istimewa daripada kerajaan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan insentif duit raya sebanyak RM500 seorang dengan jumlah keseluruhan RM49.52 juta.
Pada peringkat awalnya pemberian duit raya berkenaan hanya berjumlah RM300 seorang, namun Najib pada majlis berkenaan secara spontan bersetuju menambah RM200 lagi kepada jumlah itu selepas berbincang dengan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.
"Teks ucapan saya hari ini yang telah disediakan sepatutnya umum duit raya sebanyak RM300 seorang, namun setelah saya berbincang dengan Isa, beliau berkata di Kuala Kangsar kita beri RM500 kepada Risda.
"Jadi Felda tidak boleh kalah, kira punya kira saya kata tak apalah, kita tambah lagi RM200, semoga sumbangan ini akan dapat membantu peneroka membuat persiapan hari raya dengan lebih gembira," katanya yang disambut dengan sorakan dan tepukan daripada hampir 4,000 hadirin.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Ihya Rahmat Ramadan Warga Felda peringkat kebangsaan 2016 di Dewan Semai Bakti Felda Chini Timur 3, di sini hari ini.
Dalam ucapannya Najib turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang menyifatkan pelbagai bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan selama ini untuk membantu rakyat seperti memberi dedak kepada haiwan.
"Kita tolong rakyat bina sekolah, bina rumah, bina jalan bukannya bagi makan dedak. Dedak itu makanan haiwan, kalau kita beri bantuan pun, itu bermakna kita prihatin dengan keperluan rakyat. Inilah kerajaan BN (Barisan Nasional)," katanya.
Perdana Menteri turut berkongsi kegembiraan dengan kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak Sabtu lepas dan dalam masa yang sama turut mengingatkan wakil rakyat BN agar tidak terbuai-buai dengan kejayaan itu.
"Jangan riak dengan kemenangan ini. Mesti sentiasa rendah diri, jangan ego, jangan 'ekk' (sombong), jangan bawa angin sebab orang kampung meluat kalau terlalu ego," katanya lagi. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan