Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
SHAH ALAM: Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yakin
bahawa Rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda kuasa Mahkamah
Syariah membuka jalan pelaksanaan hukuman Islam di Malaysia.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid juga berpendapat pindaan itu yang
dibawa ke Dewan Rakyat pada penghujung Mei lalu dapat meluaskan lagi
pelaksanaan undang-undang syariah, yang dilihat terbatas pada ketika
ini.
"Maka dengan pindaan yang dicadang ini untuk meningkatkan taraf dan
bidang kuasa mahkamah syariah. Ia dilihat sebagai asas awal untuk buka
ruang memungkinkan enakmen-enakmen di peringkat negeri boleh
dilaksanakan
"Apabila bidang mahkamah syariah dibatasi di peringkat persekutuan,
maka sebarang enakmen yang hendak diusulkan di peringkat negeri akan
terhalang.
"Banyak enakmen-enakmen pentadbiran agama Islam di negeri-negeri
terhalang untuk buat pindaan supaya undang-undang berkaitan syariah dan
jenayah tak dapat dilaksanakan,' katanya menerusi temubual bersama
Antarapos, hari ini.
Sehingga ke hari ini, segala bidang kuasa mahkamah syariah tidak boleh
digugat oleh bidang kuasa mahkamah sivil, sebagaimana yang tertakluk di
dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.
Namun begitu, masih ada beberapa batasan yang menyebabkan undang-undang
Islam, sebagaimana yang dibawa dalam enakmen negeri-negeri tidak dapat
dilaksanakan sepenuhnya.
Mohd Azmi mengulas perkembangan semasa membabitkan tindakan Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang pada 26 Mei lalu membentangkan
RUU Persendirian, bertujuan meminda Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Dalam usul tersebut menyebut bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang
kuasa terhadap orang Islam, dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara
yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual
Kesembilan Undang-Undang Persekutuan.
Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, yang menyebut bahawa dalam
melaksanakan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2A, Mahkamah Syariah
mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan-kesalahan
yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.
Bukan Islam tak perlu bimbang
Mohd Azmi juga melihat langkah yang diambil parti Islam itu tidak
mendatangkan masalah atau menjejaskan mana-mana kepentingan individu,
termasuk kaum dan agama di negara ini.
"Apa yang dilakukan Hadi adalah sesuatu yang tidak bertentangan dengan
perlembangaan negara dan prosedur parlimen itu sendiri," terangnya.
Meskipun RUU persendirian itu menerima kritikan dan persoalan daripada
pelbagai pihak, MAPIM yakin usaha untuk memberi penerangan kepada
masyarakat, terutamanya yang bukan Islam akan membantu mereka membezakan
tujuan memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah tidak ada kena
mengena dengan pelaksanaan hudud.
"Yang dibentang itu tidak menjurus khusus untuk hudud walaupun pindaan
yang dicadang itu mungkin ada kesempatan supaya hudud dilaksanakan.
Namun ternyata dalam pembentangan RUU itu tidak menyatakan secara
khusus, sebaliknya menekan keada soal bidang kuasa mahkamah syariah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan