Isnin, 20 Jun 2016

IGP: Tak perlu inkuri siasat mana wang tebusan RM12 juta

MALAYSIAKINI


LIHAT VIDEO DI SINI

Tidak ada keperluan bagi menubuhkan sebuah inkuiri bagi menyiasat ke mana wang tebusan RM12 juta bagi membebaskan empat individu yang diculik oleh kumpulan militan Abu Sayaaf di perairan Pulau Ligitan, Sabah pada 1 April lalu.

Ini kerana menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pihaknya menyedari apa yang terjadi dengan wang berkenaan.

"Pasal apa pula kita nak buat inkuiri, saya dah jelaskan apa jadi dengan duit itu.

"Tak ada sebab untuk kita buat apa-apa inkuiri kerana kita (polis) tidak terlibat," katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis sumbangan bungkusan kuih raya PDRM.

Khalid juga disoal sama ada pihak berkuasa lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat mengenai wang tebusan itu.

"Saya tak tahu, tapi polis tidak akan menyiasat kerana kita tahu mana pergi duit itu.

“Saya sudah jelaskan sebelum ini, jadi saya tak perlu ulang balik apa yang saya cakap," katanya.

Khalid pada sidang medianya, Jumaat lalu berkata wang tebusan RM12 juta bagi membebaskan empat individu yang diculik itu dipercayai diserahkan oleh keluarga mangsa sendiri kepada pihak ketiga.

Menurutnya, polis tidak tahu langsung mengenai wang terbabit kerana keluarga mangsa banyak berurusan dengan ejen-ejen atau pihak ketiga dari Filipina yang dikatakan boleh membebaskan mangsa.

Khalid pada sidang media hari ini mengulangi kenyataannya menafikan polis menerima dan membayar wang tebusan berkenaan seperti didakwa oleh ahli keluarga empat mangsa.

16 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan wang kutipan RM12 juta itu telah disalurkan kepada badan Islam tertentu di Filipina.

Sebelum ini keluarga empat kelasi Sarawak yang diculik pada 1 April lalu mendakwa mereka telah menyerahkan semua wang yang dikumpul bagi pembebasan mangsa culik itu kepada polis Cawangan Khas di Sandakan, Sabah pada 24 Mei lalu.

Keempat-empat mangsa culik itu ialah adik-beradik Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 31, dan anak kapal bot tunda, Wong Hung Sing, 32.

Pada sidang media hari ini, Khalid juga mengesahkan bahawa dakwaan berlakunya penculikan terbaru yang membabitkan empat lagi warga Malaysia di perairan Sabah adalah hanya khabar angin.

"Tak ada, itu semua berita angin saja, kita pun tak dengar bahawa adanya rakyat kita yang diculik di perairan sana.

"Pihak Filipina juga tidak dapat memberi kita apa-apa pengesahan, jadi sehingga hari ini mereka tidak dapat memberi apa-apa pengesahan.

"Jadi saya anggap itu sebagai berita angin dan tidak ada kejadian itu berlaku," katanya


Tiada ulasan: