Jumaat, 24 Jun 2016

Azmin jamin Selangor tidak akan tumbang

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor tidak akan tumbang dan wakil rakyat PAS tidak akan menarik diri daripada Kerajaan negeri Selangor, itu jaminan yang diberikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
 
Azmin berkata, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad sudahpun memberi jaminan bertulis, bahawa parti itu menyokong kepimpinannya di negeri itu.
 
"Saya telah bertemu dengan Iskandar selepas Amanah (PAN) ditubuhkan tahun lalu.
 
"Beliau memberi saya jaminan bertulis bahawa PAS Selangor akan menyokong rangka kerja dasar bersama Pakatan Rakyat, dan akan terus mendukung cadangan belanjawan Pakatan Rakyat dan (manifesto) Buku Jingga," katanya dipetik akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily, hari ini.
 
Hubungan antara PAS Selangor dan Azmin sedikit goyang baru-baru ini selepas Timbalan Presiden PKR itu dikatakan memberi kata dua agar Exco PAS meletakkan jawatan, jika parti itu tetap ingin bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, 18 Jun lalu.
 
Namun Azmin menafikan perkara itu malah tiga Exco PAS enggan mengulas lanjut berhubung insiden berkenaan.
 
Pimpinan PAS pula memberitahu mereka memahami kedudukan Azmin yang tersepit antara parti itu dengan komitmennya bersama Pakatan Harapan.
 
Azmin diketahui terhutang budi kepada PAS selepas parti itu menyokong penuh pelantikannya sebagai menteri besar ketika krisis pelantikan pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
Khalid digulingkan daripada jawatan itu oleh PKR selepas dikatakan membelakangkan parti dalam urusan pentadbiran Selangor.
 
 

Tiada ulasan: