Selasa, 14 Jun 2016

Abu mayat: MPK sedia siasat dakwaan rasuah kalau ada bukti

 
MPK mengesahkan menerima permohonan pembinaan penyimpanan abu mayat pada 22 Mei tetapi ia masih belum diluluskan.


MPK


PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini menyatakan kesediannya disiasat ekoran tuduhan berlaku salah laku dalam projek pembinaan penyimpanan abu mayat berdekatan sebuah kawasan perumahan di Klang.

Yang DiPertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata beliau bersedia melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya benar dakwaan yang dibuat Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah.

“Ada dia bagi apa-apa bukti tentang bayaran (rasuah) itu?” soal Yasid hari ini.

“Jika ada bagi kepada saya untuk saya laporkan kepada SPRM.”

Beliau diminta mengulas dakwaan beberapa pegawai MPK menerima sogokan pihak pemaju bagi projek pembinaan penyimpanan abu mayat di Taman Lipat Kajang, Klang.

Ridzuan bersama sekumpulan penduduk hari ini menghantar memorandum bantahan di Pusat Khidmat Rakyat ADUN Kota Alam Shah.

Beliau mempersoalkan sikap MPK yang tidak menjawab bantahan penduduk dan peniaga kawasan itu, yang rata-rata tidak bersetuju dengan pembinaan bangunan penyimpanan abu mayat berdekatan dengan kawasan perumahan kerana mengganggu ketenteraman penduduk.

MPK mengesahkan ada menerima permohonan pihak pemaju berhubung pembinaan penyimpanan abu mayat pada 22 Mei lalu tetapi ia masih belum diluluskan.

“Kita terima permohonan, kita akan panjangkan ke Jabatan Teknikal untuk memberi ulasan terhadap permohonan tersebut,” katanya, sambil menambah proses pendengaran awam akan dilakukan bagi mendengar pendapat dan bantahan penduduk.

Ridzuan berkata pemaju “menghantar orang” memaksa penduduk bersetuju dengan projek berkenaan.

Pengerusi Penduduk Taman Lipat Kajang, K. Gangadharan, 56, berkata pernah menerima ugutan menurunkan tandatangan agar penduduk bersetuju projek itu dijalankan.

“Mereka datang ugut selepas bantahan kedua bulan lepas,” katanya.

Tiada ulasan: