Rabu, 1 Jun 2016

18 ditahan SPRM Pahang dalam 5 bulan

FREE MALAYSIA TODAY


Selain kes bauksit, SPRM Pahang juga banyak melakukan tangkapan kes-kes lain dari semasa ke semasa menerusi hasil risikan sendiri ataupun aduan orang ramai.


sprm_handcuff_600


TEMERLOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang telah membuat 18 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan rasuah di negeri itu dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pengarah SPRM Pahang, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya 17 tangkapan yang direkodkan sepanjang 2015.

Menurutnya, peningkatan itu berkemungkinan disebabkan tangkapan berkaitan aktiviti perlombongan bauksit pada awal tahun ini.

“Selain kes bauksit, kita juga banyak melakukan tangkapan kes-kes lain dari semasa ke semasa menerusi hasil risikan sendiri ataupun daripada aduan orang ramai,” katanya selepas penutupan majlis penerangan
dan wacana bertajuk “Pencegahan Rasuah Bermula Dari Rebung” anjuran SPRM Pahang semalam.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang turut dihadiri Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Kira-kira 400 belia menghadiri wacana berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Ramli berkata penganjuran wacana seumpama itu dapat merapatkan hubungan antara SPRM dan golongan belia yang boleh dijadikan sebagai ‘mata dan telinga’ suruhanjaya berkenaan bagi membanteras gejala rasuah.

Katanya, golongan itu boleh dijadikan sebagai sumber bagi SPRM untuk memperoleh maklumat berkaitan rasuah.

“Ini berikutan statistik pembabitan rasuah juga menunjukkan 40 peratus kes membabitkan golongan berumur antara 18 dan 40 tahun,” katanya.– BERNAMA

Tiada ulasan: