KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 12 April untuk
mendengar kes saman bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim
terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lagi kerana tidak
membenarkannya mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang
Pauh pada 7 Mei tahun lepas.
Timbalan Pendaftar Nor Hasniah Ab Razak menetapkan tarikh itu semasa
prosiding dalam kamar dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md
Arshad dan Natra Idris yang bertindak bagi pihak SPR, bekas
pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan kerajaan Malaysia selaku
defendan.
Prosiding dalam kamar itu turut dihadiri peguam Melissa Sasidaran mewakili Anwar.
Azizan ketika ditemui pemberita berkata kes saman itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin.
Pada 6 Mei tahun lepas, Anwar, yang juga bekas anggota Parlimen
Permatang Pauh, memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi bahawa
beliau mempunyai kelayakan sebagai pengundi seperti diperuntukkan di
bawah Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan.
Selain menuntut pampasan dan kos, Anwar turut menuntut
defendan-defendan mengambil tindakan susulan untuk menguatkuasakan
haknya sebagai pengundi.
Anwar, 69, dalam afidavit sokongan untuk menyokong tuntutannya mendakwa
pada 30 April tahun lepas, peguamnya menghantar surat tuntutan kepada
SPR dan Abdul Aziz untuk mengesahkan bahawa beliau layak mengundi.
Beliau berkata sehingga hari ini tiada jawapan daripada SPR dan Abdul
Aziz, oleh itu tindakan mereka telah menafikan haknya sebagai pengundi
dan ia bertentangan dengan Fasal 119 Perlembagaan Persekutuan.
Anwar berkata deklarasi yang dipohon itu adalah untuk menegakkan haknya
untuk mengundi pada PRK Permatang Pauh dan pada mana-mana pilihan raya
umum (PRU) nanti.
Beliau mendakwa telah mendaftar sebagai pengundi yang sah bagi kawasan
Parlimen Permatang Pauh sebelum dijatuhi hukuman oleh Mahkamah
Persekutuan pada 10 Feb tahun lepas dan telah mengundi di kawasan itu
pada PRU ke-13, tiga tahun lepas.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh
selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan
dan hukuman kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful
Bukhari Azlan, pada 26 Jun 2008.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan