Rabu, 10 Februari 2016

[KEMASKINI] Mahkamah putuskan hak penjagaan anak selepas masuk Islam ditentukan mahkamah sivil

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memutuskan Mahkamah Sivil perlu menentukan hak penjagaan kanak-kanak yang memeluk agama Islam dalam kes S Deepa melawan bekas suaminya, yang merupakan seorang mualaf, Izwan Abdullah.
 
Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Raus Sharif berkata, perkahwinan bukan Islam tidak dibubarkan apabila salah satu pihak memeluk Islam.
 
"Penceraian dan hak penjagaan anak bagi perkahwinan bukan Islam adalah bidang kuasa eksklusif mahkamah sivil," katanya ketika menolak rayuan Izwan Abdullah.
 
Lain-lain hakim ialah Hakim Besar Malaya, Zulkfli Ahmad Makinudin, Hakim Mahkamah Persekutuan, Abdull Hamid Embong; Suriyadi Halin Omar dan Azahar Mohamed.
 
Panel hakim kemudiannya menegaskan bahawa pasangan bukan beragama Islam tidak boleh menyalahgunakan faktor memeluk agama Islam sebagai tujuan melarikan diri daripada obligasinya.
 
Panel hakim itu bagaimanapun, memutuskan dalam kes ini, S. Deepa akan terus mempunyai hak penjagaan ke atas anak perempuannya Sharmila manakala, Izwan terhadap Mithran.
 
"Kedua-duanya sudah selesa dengan ibu bapa mereka. Ibu bapa boleh mempunyai akses kepada anak-anak mereka," kata Raus.
 
Dalam pada itu mahkamah berehat sebentar bagi memberi laluan kepada lima panel hakim untuk membuat keputusan berhubung jadual lawatan bagi kedua-dua ibu-bapa melawat anak masing-masing.
 
Sebelum sebarang perbicaraan dibuat hari ini, panel hakim sebelum itu menemui kanak-kanak berkenaan di dalam kamar.
 
Dalam pada itu, suasana pagi tadi di sini agak tegang sedikit apabila Deepa meminta supaya anak perempuannya duduk di sebelahnya sebelum kes dibicarakan.
 
Bagaimanapun beliau tidak boleh berbuat demikian selepas hakim meminta kedua-dua anak mereka diasingkan duduk daripada ibu-bapa mereka memandangkan hakim mahu berjumpa kedua-dua anak tersebut dahulu.
 
Anak perempuan Deepa kemudiannya ditenangkan oleh pegawai-pegawai mahkamah sebelum dibawa ke bilik pengasingan.
 
Sementara itu, Mahkamah Persekutuan turut memutuskan setiap dua bulan sekali, setiap hari Sabtu daripada jam 10pagi hingga 3 petang.
 
Kedua-dua ibu bapa perlu membawa anak di bawah jagaan masing-masing untuk sesi melawat di rumah ibu Deepa yang juga seorang mualaf.
 
Keputusan ini dicapai selepas kedua-dua ibu-bapa tersebut mencapai kata sepakat untuk berbuat demikian.
 
Kedua-dua mereka mempunyai lima jam untuk sesi melawat tersebut. 
 
 

Tiada ulasan: