BERNAMA
Menggunakan benih padi
jenis MR263 mampu memberikan hasil tuaian lebih tinggi berbanding padi
huma yang ditanam sebelum ini seterusnya mengatasi masalah kekurangan
makanan yang dihadapi oleh masyarakat Penan. Foto fail TRP
BELAGA, “Bila tengok apa (padi) di depan mata, tunggu hasil tuaian pertama pada 23 Februari ini, menitik air mata saya. Apabila projek ini diperbesarkan lagi saya janji akan jadi ‘guru’ terbaik untuk ajar penduduk kampung,” kata Aring Sinai.
Apabila mendengar Majlis Penasihat
1Malaysia Sarawak (1MSAC) ingin melaksanakan projek perintis padi sawah
di bawah inisiatif iM Sarawak di Uma Penan Lusong Laku, Aring, 40,
antara yang tampil menawarkan diri untuk terlibat.
Bapa kepada lima cahaya mata berusia
antara setahun hingga 24 tahun itu melihat projek itu sebagai langkah
tepat untuk mengubah cara hidup tradisi etnik Penan yang bergantung
kepada berburu dan mengumpul hasil hutan demi kelangsungan hidup.
Malah, Aring, antara empat orang etnik
Penan yang dipilih sebagai perintis projek itu melihat lebih jauh lagi
iaitu masalah ponteng sekolah dalam kalangan anak-anak Penan juga dapat
diselesaikan.
“Berburu
bukannya senang … kadang-kadang terpaksa bermalam di dalam hutan, itu
pun belum tentu dapat hasil, kadang-kala pulang dengan tangan kosong.
Lebih teruk kadang-kala bermalam di hutan tidak makan apa-apa.
“Berkenaan pelajaran sekolah anak-anak
juga tidak teratur, masalah ponteng juga berlaku sebab anak pun ikut
bermalam di hutan ketika berburu dan di ladang apabila kami pergi
menanam padi huma,” katanya ketika ditemui di penempatan berkenaan
baru-baru ini.
Penempatan Penan Lusong Laku, di sini,
kira-kira tujuh jam perjalanan dari bandar Bintulu, empat jam melalui
jalan raya bertar manakala baki tiga jam lagi terpaksa menempuhi jalan
pembalakan.
Bagi Aring, dia yakin apabila program ini
berjaya, ibu bapa akan mempunyai lebih masa di rumah panjang, maka
anak-anak boleh fokus kepada pembelajaran dan masalah ponteng pun tidak
lagi berlaku.
Projek perintis seluas 10 hektar itu
merupakan usaha sama Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak, Jabatan
Pertanian Negeri dan Ceria Group itu bakal memberi manfaat kepada
kira-kira 600 orang daripada 133 keluarga etnik itu apabila padi sedia
dituai mulai 23 Februari ini
Menggunakan benih padi jenis MR263 mampu
memberikan hasil tuaian lebih tinggi berbanding padi huma yang ditanam
sebelum ini seterusnya mengatasi masalah kekurangan makanan yang
dihadapi oleh masyarakat Penan di kawasan terbabit.
Aring mengakui tidak mudah untuk
melaksanakan program berkenaan, selain cabaran diserang serangga
perosak, persepsi negatif masyarakat mengenai etnik Penan yang sering
kali dituduh ‘pemalas’, tidak mahu berusaha dan lebih selesa kekal hidup
berburu dan mengutip hasil hutan kadang-kala turut mengganggu.
“Orang tuduh kami (Penan) tidak layak
untuk bersawah padi namun kami sudah bukti itu semua salah. Ia saya akui
pada mula saya pun terfikir tidak mampu lakukan ini semua tapi saya
bersama tiga lagi rakan kuatkan semangat untuk terus berusaha.
“Lagipun bagi saya keja (kerja) di sawah
tidak juga berat daripada kerja kami lalui selama ini. Kamu tahu masa
tanam padi bukit kami terpaksa naik bukit, lebih jauh berpindah ke
kawasan yang lain apabila tanah menjadi kurang subur, tapi padi sawah
ini kami hanya tanam di kampung sahaja,” katanya.
Katanya menjadi pesawah juga lebih mudah,
seawal jam 7 pagi dia sudah berada di sawah sehingga 12 tengah hari
sebelum kembali menyambung kerja bermula 1 tengah hari sehingga 5
petang.
Bagi Penghulu Lusong Laku, Jati Jarang,
61, kisah kejayaan etnik Penan mengusahakan padi sawah di Lusong Laku
akan menjadi buah mulut masyarakat sekitar.
Di Long Kajang, Long Abit serta beberapa
penempatan di sekitar ini mereka boleh jadikan kisah kejayaan padi sawah
ini sebagai bukti.
“Mengikut perancangan selepas projek
perintis, padi sawah akan diperbesarkan sehingga 170 hektar, selepas ini
kami tidak perlu lagi susah payah pergi ke hutan cari makanan, terima
kasih kepada kerajaan, terima kasih iM Sarawak,” katanya.
1MSAC ditubuhkan oleh Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memberikan khidmat nasihat tentang
keperluan rakyat Sarawak.
Projek iM Sarawak dilaksanakan oleh
Yayasan Rakyat 1Malaysia dan Yayasan 1MDB dengan kerjasama daripada
badan bukan kerajaan, agensi serta badan kerajaan negeri Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan