Khamis, 18 Februari 2016

Aktivis tubuh Sahabat Mat Sabu bantu Presiden AMANAH

Anne Muhammad

 



Sekumpulan aktivis sosial tampil membantu Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu yang berdepan risiko muflis jika gagal membayar RM200,000 kepada bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Menggelar diri mereka “Sahabat Mat Sabu”, jurucakap kumpulan itu Mandeep Singh berkata, tujuan utama kutipan sumbangan tersebut dibuat adalah sebagai tanda kebersamaan dengan Mohamad yang kini kesulitan.

“Hari ini kami lancarkan kumpulan Sahabat Mat Sabu ini bagi bersolidariti terhadap beliau yang dalam keadaan kesusahan.

“Mat Sabu sudah 30 tahun berjuang dengan mengutarakan pelbagai isu di negara kita.

"Justeru saya menyeru supaya rakyat Malaysia turut bersolidariti bersama kami,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mat Sabu adalah gelaran atau panggilan popular kepada Mohamad. Sebelum menjadi Presiden AMANAH beliau adalah Timbalan Presiden PAS sebelum diketepikan kumpulan konservatif dalam parti berkenaan.

Mandeep menegaskan, kutipan dibuat itu tidak ada sebarang kaitan dengan AMANAH atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan lain.

Mat Sabu Lawan SPR
Sebaliknya, kata Mandeep, ia digerakkan atas kapasiti individu dan juga "sahabat" kepada Mohamad.

Terdahulu, peguam Noor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Wan Ahmad akan memfailkan petisyen pemiutang terhadap Mohamad di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan semula ganti rugi itu berserta faedah.

Notis kebankrapan sudah pun diberikan kepada Mohamad pada 3 Februari lalu namun pemimpin pembangkang itu gagal mematuhinya.

Mengulas lanjut Mandeep berkata, jelajah besar-besaran akan diadakan di seluruh Semenanjung Malaysia secepat mungkin bagi membantu Mohamad.

Mandeep - yang dihalang memasuki Sarawak baru-baru ini - berkata pada sidang media mengumumkan penubuhan Sahabat Mat Sabu hari ini sebanyak RM1,950 dikumpulkan.

Jelasnya, untuk menjamin ketelusan pihaknya akan sentiasa memaklumkan jumlah kutipan terkini di Facebook dan ia akan berakhir sekiranya jumlahnya mencecah RM200,000.

Poster Kempen sumbangan RM10 "Mat Sabu Lawan SPR" pula sudah mula disebarkan di laman sosial Facebook.

Sekiranya sesiapa ingin menyalurkan sumbangan mereka boleh menghubungi talian 011-35712316.


Tiada ulasan: