Selasa, 8 Disember 2015

Sudahkah Najib serah duit RM2.6b kepada Umno?


Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi mengemukakan soalan terbaharu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung derma RM2.6 bilion.

Menurut Mahathir, selagi soalannya itu tidak dijawab, beliau tidak akan puas hati kerana suaranya mewakili rakyat.

"Sudahkah Datuk Seri Najib menyerahkan RM2.6 bilion ini kepada Umno? Saya nak tanyalah. Ini saya rasa bukan jenayah. Saya tanya sahaja.

"Kalau tak serah lagi, duit itu ada di mana? Untuk apa? Buat apa? Selagi tidak boleh terangkan kepada saya, saya tak puas hati. Rakyat semua nak tahu," ujarnya ketika berucap pada Majlis Bersama Timbalan Presiden Umno di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dana RM2.6b: Najib takut Umno 'sangkut']

[ARTIKEL BERKAITAN: Penderma mahu masukkan RM2.6b ke akaun peribadi]

Turut hadir pada majlis itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Malah Mahathir turut memberitahu kehadirannya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU), minggu ini juga untuk mendapatkan jawapan terhadap persoalan itu.

"Sepatutnya dalam Mesyuarat Agung Umno dalam penyata kewangan tahun lepas dan tahun sebelumnya disebut di dalamnya Umno telah menerima derma dari DS Najib sebanyak RM2.6 bilion. Siapa yang ingat ada dinyatakan dalam penyata kewangan (sebelum ini)?

"Kali ini pun saya nak dengarlah.‎ Sebab itu saya nak pergi ke mesyuarat agung Umno," katanya.

Menurutnya lagi, Bendahari Umno perlu menjelaskan kedudukan kewangan parti.

"Mengikut peraturan, bendahari Umno mesti jelaskan kedudukan kewangan Umno.

"Saya nak tahu ada tak RM2.6 bilion (dalam penyata kewangan Umno). Kalau tak ada, di mana wang itu?," tanyanya.


Tiada ulasan: