Khamis, 10 Disember 2015

RUU Majlis Keselamatan Negara: Cabar debat isu PM dahului kuasa Agong

 RUU MKN

Oleh Fatih Hassan Nordin 


KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengulangi cabaran mengajak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi berdebat berkaitan isu Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berbuat demikian berikutan kenyataan Zahid mengenai RUU itu kononnya tidak memberi kuasa eksekutif penuh kepada Perdana Menteri.

“Saya tetap mencabar Zahid untuk berdebat jika beliau masih berpandangan bahawa RUU itu tidak memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri,” katanya.

Kit Siang menyifatkan kerajaan seakan-akan cuba berselindung di sebalik alasan bahawa RUU itu diluluskan bagi menjaga keselamatan negara dari ancaman penganas dalam dan luar negara.

“Jika benar RUU itu diluluskan atas alasan menjaga keselamatan negara, mengapa tidak RUU ini dilaksanakan lebih awal ketika negara kita diserang pemberontak Sulu dua tahun lepas?” katanya pada kenyataan media hari ini.

RUU MKN diluluskan pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat minggu lalu dengan undi belah bahagi yang menyaksikan 107 Ahli Parlimen menyokong manakala 74 lagi menolak.

Intipati RUU itu antaranya memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengistihar kawasan keselamatan serta menangkap tanpa waran terhadap sesiapa jua yang dianggap mengancam negara.

Ekoran bimbang negara menuju pemerintahan diktator, Kit Siang mencadangkan supaya MKN dipinda dan ditukar kepada Majlis Keselamatan Anti-Pengganas yang lebih sesuai bagi membanteras aktiviti keganasan.

“Jika Najib berkata benar bahawa MKN diluluskan bagi menjaga keselamatan negara dari ancaman pengganas, beliau perlu menarik balik atau meminda RUU itu dan diganti dengan Majlis Keselamatan Anti-Pengganas.

“Dengan pindaan itu, RUU berkenaan lebih fokus dalam fungsinya membanters aktiviti pengganas,” katanya.

Beliau juga menyifatkan RUU itu mengatasi kuasa Yang Dipertuan Agong kerana membenarkan Perdana Menteri mengisytihar darurat tanpa melalui proses yang termaktub dalam Artikel 150 Perlembagaan Malaysia.

“Seharusnya RUU itu melindungi rakyat, bukannya memberi kuasa mutlak untuk tangkap semua orang dan melampaui kuasa Yang Dipertuan Agong,” katanya.

Artikel 150 membenarkan Yang Dipertuan Agong mengisytihar darurat tanpa sebarang alasan, malah tanpa nasihat Perdana Menteri atau Kabinet.

Beliau pada 6 Disember lallu mengajak Zahid berdebat mengenai RUU itu tetapi tidak diendah walaupun memberi kelonggaran kepada menteri berkenaan dalam memilihn tarikh, masa dan tempat.


Tiada ulasan: