QURNISHA HAMKA
Perhimpunan Agung Umno
(PAU) 2015 kali ini dilihat agak kritikal ekoran pertembungan dua
pemimpin yang menyebabkan berlakunya krisis di dalam parti itu. - Foto
Bernama
KUALA LUMPUR, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 kali
ini dilihat agak kritikal ekoran pertembungan dua pemimpin yang
menyebabkan berlakunya krisis di dalam parti itu.
Pakar Antropologi Budaya dan Politik UPM,
Dr Aris Arif Mundayat berkata keadaan itu membawa satu situasi yang
agak tegang di dalam perhimpunan kali ini apabila melihat perwakilan
terbahagi kepada dua kumpulan.
“Saya kira situasi PAU 2015 kali ini
cukup mencemaskan, kepimpinan sekarang. Jadi memang isunya memang sangat
konterversi dan juga mengakibatkan ketegangan di dalam Umno itu
sendiri.
“Di dalam Umno itu tegang, tentu saja
kerana ada dua kekuatan yang berhadapan dan saya rasa mungkin sama kuat,
lebih kurang sama kuat. Dua kepimpinan ini mempunyai akar umbi yang
sangat kuat,” kata Dr Aris yang juga berasal dari Indonesia itu.
Beliau
yang juga bukan kali pertama hadir ke PAU sebagai pemerhati mengulas
bahawa Umno akan tetap kekal relevan meskipun kini parti itu berhadapan
dengan keadaan yang genting.
Ini kerana sokongan akar umbi masih lagi kukuh bersama parti Melayu gergasi itu.
“Saya rasa Umno masih mampu kekal sebagai sebuah parti yang relevan, masih panjang umur Umno.
“Kerana Umno menjadi tempat untuk orang
Melayu mewujudkan hasrat dan identiti politik mereka. Dan itu menentukan
hayat Umno masih panjang dan itu juga menunjukkan Malaysia masih
menggunakan kaum sebagai identiti politik, itu pasti akan panjang (umur
Umno),” ujarnya kepada The Rakyat Post.
Sementara itu, penganalisis politik dari
UUM, Prof Dr Azizuddin Mohd Sani berkata ucapan dasar Presiden Umno,
Datuk Seri Najib Razak mempunyai ciri-ciri yang defensif.
Ini dilihat tidak bertentangan dengan
kuasa autoriti Najib yang bertujuan untuk memelihara jawatan dan
kuasanya selaku pemimpin parti berkenaan.
“Memang ada dalam ucapan beliau
berciri-ciri defensif, itu telah diramal yang mana beliau akan bertindak
menyampaikan ucapan sedemikian sebab dia kena menunjukkan bahawa dia
ada autoriti.
“Sebagai presiden, dia ada autoriti untuk
melakukan apa saja tindakan, dasar dan sebagainya…dan rakyat khususnya
penyokong dan ahli Umno menyokong beliau.
“Dia memang menggunakan platform ini
untuk mempertahankan diri beliau dan juga menegaskan bahawa dia sebagai
presiden dan ketua kepada orang Melayu, Umno dan autoriti beliau tidak
sepatutnya diganggu gugat,” katanya kepada The Rakyat Post.
Beliau menambah, Umno perlu menyelesaikan
isu-isu yang berkait secepat mungkin bagi memastikan sokongan rakyat
tidak terjejas menjelang PRU14 akan datang.
Ini termasuk permasalahan melibatkan
1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga dana politik yang diterima
Najib berjumlah RM2.6 billion daripada penderma dari Timur Tengah.
“Sekarang ini era Najib, sepatutnya tidak
ada ancaman kepada beliaulah. Tapi dalam masa yang sama ada juga reaksi
dari perwakilan, ada juga ucapan yang semalam dari Melaka menyeru
supaya berbaik semula.
“Kalau lihat dari mood, nampak
seolah-olah keseluruhannya untuk presiden, tapi ada juga yang melihat
kepada perlunya berbaik semula. Isu yang timbul saya tak nampak ianya
lebih kepada kepimpinan, selalunya kepimpinan itu yang menyebabkan
krisis itu berlaku.
“Tapi isu yang banyak dibangkitkan adalah
isu melibatkan isu nasional seperti 1MDB, RM2.6 billion. Maksudnya kena
selesaikan dulu isu itu, baru dapat selesaikan isu ini (krisis
kepimpinan),” tambahnya lagi.
PAU2015 kini sedang berlangsung yang mana ianya bermula 8 Disember lalu dan akan berakhir pada 12 Disember.
Perhimpunan parti itu kali ini sedia ada
diramalkan panas ekoran krisis kepimpinan yang terjadi di antara Najib
dan Muhyiddin serta mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan