Isnin, 7 Disember 2015

PAU 2015 janggal tanpa amanat timbalan presiden

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin


SHAH ALAM - Kehadiran pemimpin veteran pada Perhimpunan Agung Umno setiap tahun menjadi satu kemestian dan sentiasa mendapat perhatian pelbagai pihak dalam meneruskan kesinambungan pemimpin lama dan baharu dalam pimpinan parti Melayu itu di negara ini.

Amalan itu menjadi tradisi setiap kali mesyuarat agung tahunan Umno diadakan dan lazimnya tumpuan lebih terarah kepada kehadiran dua bekas Presiden Umno iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jika dua tokoh besar ini tiada pada perhimpunan itu yang bermula dari 8 hingga 12 Disember 2015 ini, ia akan dirasai semua pihak meskipun salah seorang daripadanya sangat lantang mengkritik dan menyerang kepimpinan Umno pada hari ini.

Namun berbeza pula pada tahun ini apabila perhimpunan itu yang bakal dihadiri oleh 5,732 perwakilan memecahkan tradisi parti keramat itu apabila berlaku kejanggalan setelah ucapan dasar Timbalan Presiden Umno tidak diselitkan dalam aturcara majlis itu.

Kejanggalan itu sudah pun dicetus lebih awal apabila majlis perasmian mesyuarat agung bagi semua sayap Umno tidak lagi dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya dilakukan oleh ketua masing-masing.

Kebiasaannya ahli-ahli Umno akan mendengar ucapan, pandangan dan harapan bukan sahaja daripada Presiden Umno tetapi suara dari akar umbi termasuk Timbalan Presiden, Naib Presiden dan perwakilan.

Apabila suara akar umbi dinafikan, sudah tentu tiada lagi amalan tegur-menegur untuk penambahbaikan yang menjadi asas kepada kekuatan parti Melayu itu sejak 70 tahun lalu.

Umum mempersoalkan, adakah PAU 2015 akan menjadi titik hitam buat Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak jika muncul suara-suara desakan supaya beliau berundur?

Ia boleh jadi tindakan susulan beberapa Umno Cawangan yang sebelum ini mendesak Najib akur kepada suara akar umbi susulan kegagalan beliau menyelesaikan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad dan isu penyaluran derma RM2.6 bilion ke dalam akaun bank peribadinya.

Desakan sama mungkin akan disuarakan ketika sesi perbahasan perhimpunan itu nanti meskipun usul sudah pun ditapis lebih awal dan hanya usul pendidikan, agama serta ekonomi diterima untuk dibahaskan perwakilan nanti.

Apa pun PAU 2015 menjanjikan bukan sahaja kepada lebih 5,000 perwakilan bahkan mengetatkan syarat kepada petugas media yang membuat liputan sepanjang perhimpunan itu berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada minggu depan.

Perjalanan Umno dijangka semakin sukar dan penuh dengan ranjau menjelang PRU14 jika terus 'mengharamkan' kemunculan Muhyiddin di khalayak akar umbi parti Melayu itu yang berkampung seminggu di ibu kota.

Perwakilan boleh melihat dan mendengar tetapi ahli Umno seramai lebih tiga juga di seluruh Malaysia punya suara keramat sama ada mempertahankan partinya atau membiarkan parti pemerintah itu terus berkubur kerana 'meluat' dengan sikap kepimpinan tertinggi parti yang berat sebelah.


Tiada ulasan: