PETALING JAYA: Suasana
perdamaian pada majlis penutupan Perhimpunan Agung Umno 2015 mungkin
tidak kekal apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai sedang merancang
satu lagi ceramah politik untuk menyuarakan pandangan beliau.
Timbalan presiden Umno itu, menurut sumber yang rapat
dengan beliau, dikatakan telah bersedia untuk mempertahankan dirinya
mengenai isu-isu yang dibangkitkan semasa perhimpunan agung.
Menurut sumber itu, Muhyiddin mahu menangkis apa yang
telah dikatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar
presiden dan juga semasa ucapan penggulungan.
Bekas timbalan perdana menteri itu juga mahu memberi
tindak balas kepada serangan dan kritikan oleh beberapa perwakilan yang
berucap semasa perbahasan.
Sehingga kini masih tidak jelas sama ada program baharu
itu akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru sekali lagi
atau lebih dekat dengan kediamannya di Johor.
Muhyiddin, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal bergabung untuk satu
acara di Kampung Baru beberapa hari sebelum perhimpunan agung untuk
mengkritik pengendalian Najib terhadap isu 1MDB dan dasar-dasar kerajaan
yang lain.
Ceramah seterusnya itu adalah sebagai ‘ucapan
penggulungan’ di mana Muhyiddin tidak dibenarkan melakukannya semasa
perhimpunan parti.
"Dia merasakan bahawa dia perlu menjawab tuduhan tersebut
mengenai kepimpinan dan prestasinya sebagai orang No.2 dalam parti,"
kata sumber itu.
Najib telah menghulurkan salam perdamaian beliau pada hari
terakhir perhimpunan agung apabila beliau mengisytiharkan ingin menjadi
seorang yang ‘berjiwa besar’ mengenai apa yang telah berlaku.
Tetapi Muhyiddin, berdasarkan bahasa badannya, kelihatan
nekad. Kedua-dua pemimpin tertinggi itu berjabat tangan tetapi tidak
berpelukan antara satu sama lain, walaupun beberapa perwakilan telah
menyatakan hasrat mereka untuk melihat mereka berbuat demikian.
Mereka yang berdiri berdekatan dua pemimpin ini perasan
bahawa adegan berjabat tangan itu kelihatan seperti tidak dilakukan
sepenuh hati - hanya menyentuh hujung jari dan apabila Najib cuba
mengangkat tangannya lebih tinggi, Muhyiddin tidak memberikan respons
positif.
Muhyiddin seolah-olah tidak mahu menyambut salam silaturrahim dan perdamaian oleh Najib.
"Terdapat satu usaha tetapi adakah ia disambut?,” kata sumber Muhyiddin itu.
Difahamkan bahawa Muhyiddin tidak mengambil berat
kenyataan Najib bahawa ‘sesiapa yang menentang presiden, maka dia juga
menentang parti’.
Selain itu, beliau juga telah menulis di akaun Facebooknya
beberapa jam selepas ucapan perasmian Najib, yang menyifatkan bahawa
Muhyiddin tidak melakukan tugasnya sebagai orang No.2.
Muhyiddin menulis bahawa beliau telah bersungguh-sungguh
dalam menjalankan tanggungjawabnya terhadap satu demi satu pilihan raya
kecil sejak 2009.
Beliau juga membidas kembali kenyataan Najib dengan
mengatakan bahawa kritikan terhadap kepimpinan yang dibuat adalah
berdasarkan aduan daripada akar umbi.
Ketua Umno Bahagian Kapar Datuk Faizal Abdullah berkata
para perwakilan telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka mahu parti
itu untuk terus bergerak ke hadapan dan bersedia untuk menghadapi
pilihan raya umum akan datang.
"Hampir setiap penceramah menyatakan hasrat untuk terus berjuang dan mahu perbezaan pendapat diakhiri.
”Saya tidak tahu apa lagi mahu dikatakan tetapi jika
Muhyiddin berkeras untuk membawa beberapa isu di luar, dia tidak
menghormati apa yang perwakilan mahu.
"Presiden telah menghantar satu isyarat jelas bahawa jika
terdapat percanggahan pendapat, beliau (Muhyiddin) boleh pergi dan
berjumpa dengannya atau membangkitkannya kepada Majlis Tertinggi," kata
Faizal.
Muhyiddin boleh dikenakan tindakan disiplin jika beliau
bertindak untuk menyatakan rasa tidak puas hatinya secara terbuka kepada
orang ramai.
Beliau hampir dipecat pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno
yang terakhir pada malam Rabu lalu apabila salah seorang ahli Majlis
Tertinggi menyenaraikan ‘lapan sebab mengapa Timbalan Presiden itu perlu
disingkir.
Bagaimanapun, Najib enggan bertindak terhadap timbalannya
dan segera mengakhiri mesyuarat itu, walaupun beberapa orang yang lain
masih mahu bercakap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan