KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata
beliau bersedia menghadapi sebarang tindakan disiplin kerana berucap
kepada penyokongnya sehari sebelum Perhimpunan Agung Umno (PAU) bermula,
esok.
"Saya mungkin berdepan tindakan displin terhadap parti, (walaupun) rasa cinta (saya) terhadap parti (menggunung).
"Saya bakal jadi bahan celaan seolah buat dosa yg besar, saya percaya
(saya) tidak buat kesalahan, (saya) buat atas tuntutan agama," katanya
dalam sebuah majlis di Kelab Sultan Sulaiman disini, hari ini.
Lewat petang tadi, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor memberitahu, parti tidak akan menghalang Muhyiddin berucap
kepada penyokongnya yang hadir, tetapi mengingatkan bekas Timbalan
Perdana Menteri itu agar tidak melampaui batas.
"Hanya jangan melampaui batas, jika tidak, kami akan mengambil tindakan," kata Tengku Adnan.
Muhyiddin ketika berucap malam ini turut menzahirkan kekesalannya
apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno melarangnya daripada merasmikan
Persidangan Pemuda, Puteri dan Wanita Umno, seperti kebiasaannya saban
tahun.
"Setiap tahun saya dijemput merasmikan perhimpunan sayap, tetapi tahun
ini entah mengapa Majlis Tertinggi (MT) putuskan saya tidak berucap,
saya tidak tahu mengapa. Setelah MT buat keputusan itu, saya terima
banyak permintaan untuk sampaikan sedikit amanat sebelum PAU bermula.
"Taat dan setia saya kepada Umno tetap utuh. Apatah lagi ramai yang
tampil datang memberi sokongan untuk terus berjuang di landasan yg
benar, mereka mahukan saya berkata benar dan jangan sekali berundur.
"Sebagai seorang Islam menjadi kewajipan saya menyatakan kebenaran
menentang kemungkaran. Saya tidak akan biar kemungkaran yang nyata
bermaharajalela tanpa ditentang, khususnya melibatkan agama, bangsa,
negara," ujarnya.
Muhyiddin sebelum ini menganggap dirinya berperanan seperti 'tunggul'
pada PAU kali ini jika tidak dibenarkan berucap pada perwakilan yang
hadir kali ini.
Mesyuarat MT esok dijangka akan memutuskan sama ada Muhyiddin akan dibenarkan berucap pada penggulungan PAU, Sabtu ini.
"Saya akan hadir (PAU kali ini seperti biasa), (saya) mesti hadir
sebagai Timbalan Presiden, (Datuk Seri) Shafie pun akan hadir, saya
tidak pasti diberikan peluang untuk berucap, soalnya boleh ke berucap",
soal Muhyiddin.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh digugurkan daripada kabinet
selepas beliau lantang mengkritik cara kerajaan dan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak mengendalikan isu 1Malaysia Development Berhad
(1MDB).
Beliau terus-terusan menyerang kerajaan dan Najib, khususnya, tanpa
menunggu hasil siasatan ketua audit negara dan badan-badan berkaitan
terhadap isu 1MDB.
Turut digugurkan daripada kabinet adalah Naib Presiden Umno, Datuk Seri
Shafie Afdal, yang juga lantang mengkritik kerajaan atas isu yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan