Rabu, 16 Disember 2015

Kit Siang tidak yakin kemampuan Pakatan Harapan - penganalisis

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Penganalisis politik, Prof Madya Dr Baharuddin Aziz menyifatkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang seolah-olah tidak yakin dengan kemampuan gabungan pembangkang baru, Pakatan Harapan (PH) walaupun diberikan nafas baru.
 
Beliau mengulas kenyataan Kit Siang yang berkata pembangkang masih belum boleh mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 walaupun DAP, PKR, PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah) bergabung di bawah bumbung yang sama. 
 
"Beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu sebab menunjukkan beliau sendiri tidak yakin dengan kekukuhan Pakatan Harapan. 
 
"Walaupun mereka bergabung di bawah payung yang sama, Kit Siang sendiri nampak hilang kewibawaan dengan gabungan itu," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Kit Siang, ketika menyampaikan ucapannya di Taiping semalam dipetik sebagai berkata penyatuan semula parti-parti pembangkang masih belum cukup kuat untuk menolak BN.
 
Malah Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga menyifatkan bukan satu tugas mudah untuk mengembalikan sokongan dan keyakinan rakyat terhadap gagasan pembangkang apabila beberapa dasar bersama mereka tercalar.
 
Lebih lanjut, Baharuddin berkata sikap ego menjadi punca terhadap sukarnya parti-parti pembangkang mewujudkan persefahaman dan kerjasama dalam strategi politik mereka.
 
"Walaupun diberi ruang kepada DAP dan PAS untuk duduk semeja, mereka tetap berpecah. Pada pandangan rakyat dan pengundi, ia sebagai satu kegagalan.
 
"Kesukaran untuk mengadakan percambahan pemikiran dan persetujuan sebagaimana BN lakukan," tambahnya lagi.
 
Pakatan Harapan dibentuk pada September lalu selepas berakhirnya kerjasama DAP-PKR-PAS menerusi Pakatan Rakyat.
 
Kerjasama tersebut menemui titik noktah apabila PAS dan DAP sering berbalah dalam isu-isu yang membabitkan persepakatan mereka di dalam gagasan itu, iaitu berhubung pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan.
 
Rentetan itu, PAS disisihkan dalam pembentukan Pakatan Harapan dan tempat tersebut digantikan oleh Amanah, yang merupakan serpihan PAS yang 'kecewa' dengan perjuangan parti.
 
 

Tiada ulasan: