Ahad, 13 Disember 2015

Kisah saya dengan Onn Jaafar berbeza


Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin. - Foto Sinar Harian


KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan cerita politiknya hari ini tidak sama dengan bekas pemimpin Umno, Datuk Onn Jaafar yang meletakkan jawatan gara-gara berbeza pendapat dengan presiden parti.

Menurutnya, tiada keperluan untuk beliau mengikut jejak Onn Jaafar melainkan beliau dipecat.

"Datuk Onn Jaafar keluar dari Umno kerana mengusulkan penubuhan sebuah parti dan Umno menjadi parti yang pelbagai kaum. Waktu itu, kepimpinan tidak bersetuju. Maka, Umno kekal, dia keluar.

"Situasi sekarang berbeza. Bukan saya tidak setuju dengan Umno...saya masih ahli Umno dan saya dipilih. Saya nak menjalankan tugas selama mana saya kekal timbalan presiden. Kenapa saya nak meninggalkan Umno ataupun meninggalkan jawatan saya. Lain (kalau) saya dipecat," katanya kepada Sinar Online dalam wawancara khas Rabu lalu.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussien berkata Onn Jaafar meletakkan perjuangan melebihi kepentingan sendiri dengan meletakkan jawatan apabila hasratnya mahu membawa kaum-kaum lain dalam Umno ditolak.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, bertahannya beliau dalam perjuangan meskipun dikritik kerana menetang arus, bukannya akibat gila kuasa sebaliknya hanya menjalankan tugas selagi masih memegang amanah.

"Saya terbuka, bukan gila kuasa. Saya tak ada apa-apa. Sehingga saya kata, lepas ini saya tak jadi apa-apa pun tak apa. Mungkin banyak masa untuk beristirehat, dengan keluarga, isteri...yang sudah lama tidak mempunyai masa berkualiti dengan saya.

"Tapi kerana saya masih berjawatan, saya kena menjalankan amanah ini. Tak kan perkara itu salah?," katanya.

Menurut Muhyiddin lagi, krisis yang berlaku zaman dulu tidak timbul langsung soal isu skandal, tuduhan rasuah seperti yang dilihat hari ini.

"Dulu melibatkan isu kepimpinan, percanggahan pendapat. Hari ini, ia langsung melibatkan presiden parti.
"Saya tidak menuduh dia melakukan kesalahan tapi dia di tengah-tengah gelombang...badai yang berlaku," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu sebagai umat Islam, beliau sentiasa beringat bahawa setiap apa yang dilakukannya dan tutur katanya akan nilai.

"Saya tidak boleh berkata sesuatu yang tidak benar kerana saya ada maruah, harga diri. Saya tidak mahu nanti diingat sebagai pemimpin yang berbohong.

"Bagi seorang pemimpin, saya fikir penting dinilai kredibilitnya, kewibawaannya. Penting apabila dia bercakap, orang percaya, dia bercakap benar. Saya pegang pada prinsip itu," katanya.

Beliau juga yakin tidak menjadi liabiliti kepada parti meskipun mengambil sikap yang jauh berbeza berbanding pemimpin-pemimpin Umno lain.

"Saya tidak fikir saya menjadi satu liabiliti dalam angin yang agak sedang kencang ini...nak disingkirkan saya, nak dibuang saya. Saya akan menerima padah dengan apa yang saya lakukan tapi saya puas hati kerana saya sudah berbuat sesuatu yang terbaik yang saya fikir boleh membantu (parti).

"Kalau ada yang tidak mahu mendengar ataupun langsung tidak mahu menerima, itu soal mereka tapi rakyat akan menilai. Itu lebih utama," katanya.

Akui ada menerima 'nasihat' daripada pemimpin-pemimpin lain yang mahukan beliau menutup mulut, Muhyiddin menghargai keprihatinan itu.

"Ada jugalah. Bukan wahyu...SMS atau ada satu pemimpin dia kata, 'you don't have to say anymore'. Mungkin sebab dia kata, nak pastikan saya ini tidak tersingkir, jawatan timbalan presiden tidak diganggu.

"Ada yang mungkin atas keprihatinan, rasa sayang kepada saya. Saya hargai pandangan itu. Tapi kita berhadapan satu situasi yang cukup kritikal dalam sejarah negara. Wajarkah saya berdiam? Bukan soal ini (isu skandal) menjejaskan parti...(tapi) negara. Imej kita sudah begitu rosak dibuatnya," katanya.

Tambahnya, "isu 1MDB, apa pun juga penjelasannya sudah tidak mahu diterima, orang tidak yakin akan tindakan-tindakan kerajaan, dibebani masalah-masalah ekonomi, ringgit menjunam jatuh, rakyat menderita, tekanan hidup yan semakin susah. Nak saya diam diri? 'Shut up? Don't say anything, don't do anything?'."

Tiada ulasan: