Isnin, 7 Disember 2015

Khaled: Saya bukan anggota 'Team 5M' cabar kem Najib

MALAYSIAKINI
 
 
 


Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dalam “Team 5M”, kumpulan yang dikatakan akan mencabar kem Datuk Seri Najib Razak dalam pemilihan Umno 2018.

“Saya tidak dihubungi dan tidak ada menghubungi sesiapa untuk bertanding apa sahaja jawatan,” katanya di Facebook hari ini.

“Ternyata, ini adalah usaha pihak-pihak tertentu yang terdesak yang ingin menganggu semangat perpaduan dan keharmonian dalam parti.”

Mengulas dakwaan di laman pro-Najib MYKMU, Khaled berkata sewajarnya kesempatan berkumpul sempena perhimpunan agung Umno kali ini digunakan untuk memperkukuh dan mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perhimpunan agung Umno akan berlangsung mulai esok sehingga Sabtu ini di ibu negara.

Memetik "PRU14", MYKMU mendakwa Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan pasukan itu dalam perhimpunan bersama penyokongnya di ibu negara malam ini, setelah peluang itu masih tidak jelas dalam perhimpunan agung parti.

Senarai pasukan Muhyiddin untuk menentang kem Najib itu didakwa seperti berikut:

Presiden: Muhyiddin
Timbalan presiden: Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Naib presiden: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Naib presiden: Datuk Seri Ahmad Said
Naib presiden: Khaled

Tulisan itu mendakwa Muhyiddin mengambil keputusan itu setelah sekumpulan tokoh Melayu ternama yang dikenali dengan gelaran ‘G25’ didakwa menolak permintaan mereka untuk bekerjasama menjatuhkan Najib.

Muhyiddin didakwa cuba mengambil inisiatif itu bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin sebelum ini digugurkan sebagai timbalan perdana menteri setelah lantang mengkritik syarikat pelaburan negara cetusan ilham Najib, 1MDB.


Tiada ulasan: