shahbudindotcom
Keputusannya
tidak lain ialah mustahil Muhyiddin akan dibenarkan menyampaikan
ucapan penggulungannya, kecualilah jika semua ahli MT sudah "tidak
waras" lagi pemikirannya pada malam mesyuarat itu diadakan.
Selagi
ahli-ahli MT kekal waras dan dapat membezakan antara syiling 10 sen
dengan wang kertas RM100, tidak masuk akal sama sekali untuk mereka
memihak kepada Muhyiddin yang tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa
berbanding Najib yang hampir mempunyai segala-galanya sebagai alat
memenuhi nafsu, keinginan serta kehendak.
Lagi
pula, jika berucap merasmikan perhimpunan sayap Wanita, Pemuda dan
Puteri yang kehadirannya hanya sekitar 2,000 perwakilan pun sudah
dihalang, tentulah untuk ucapan penggulungan dalam majlis penutup yang
kehadiran perwakilan melebihi 5,000 orang, lebih tinggi lagi keghairahan
Najib Razak untuk menghalang suara Muhyiddin.
Oleh
itu, Muhyiddin dan mereka yang masih rasional janganlah meletak harapan
yang terlalu tinggi atau menjangkakan keputusan yang berbeza terhadap
MT UMNO pada mesyuaratnya 9 Disember itu.
Keputusan
buat pertama kali menjadikan sebagai agenda perbincangan dalam
mesyuarat MT sama ada Muhyiddin perlu berucap atau tidak saja pun
sebenarnya sudah membuktikan UMNO telah hilang kerasionalannya.
Apatah
lagi, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor sudah berulang
kali menekankan pendiriannya bahawa hanya Presiden seorang saja yang
seharusnya berucap di majlis penggulungan itu.
Dengan
berbuat demikian, Ku Nan secara halusnya sedang memberitahu ahli-ahli
MT UMNO supaya turut bersetuju dengan pendiriannya itu yang dipercayai
dapat melindungi lagi kedudukan Najib daripada sebarang kemungkinan.
Pernahkah
kita dengar sebelum ini sama ada Timbalan Presiden UMNO perlu berucap
atau tidak dalam ucapan penggulungan menjadi agenda mana-mana mesyuarat
MT?
Bukankah ia suatu tradisi dan konvensyen yang sudah diterima pakai dalam UMNO sejak sekian lama?
Berbalah,
berkelahi, berlawan dan berebut kuasa adalah perkara biasa dalam UMNO,
tetapi pernahkah juga ada mana-mana Presiden UMNO sebelum ini yang
begitu penakut sehingga mahu membakulsampahkan semua tradisi dan
konvensyen itu?
Sejak
sekian lama, ucapan pemimpin mengikut hireaki di majlis penutup
Perhimpunan Agung UMNO telah menjadi tradisi, tarikan serta juga
kekuatan resepi perjuangannya untuk menambat hati rakyat.
Ramai
yang menunggu-nunggu ucapan penggulungan setiap kali Perhimpunan Agung
UMNO, bukan saja untuk mendengar ucapan dan menilai kemampuan pemimpin
menonjolkan bakat mereka, bahkan juga untuk mengetahui jika ada sebarang
pengumuman penting yang melibatkan rakyat melaluinya.
Apabila
tiada lagi ucapan daripada lain-lain pemimpin di majlis penggulungan,
kecuali hanya Najib yang diketahui sarat dengan isu dan masalah saja
yang dibenarkan berucap, keadaannya tidak lebih umpama peniaga yang
terus juga mahu "menjual barang yang tidak berapa laku lagi untuk
dipasarkan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan