Shafie Apdal - Foto Sinar Harian Oleh AFIQ RAZALI
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal menegur tindakan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memberi amaran kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, jika Tengku Adnan boleh memberi amaran, maka beliau sebagai Naib Presiden parti juga berhak menegur Menteri Wilayah Persekutuan itu.
"Saya kerja untuk Umno. Saya bukan kata jangan undi...jangan bantu Umno. Oleh kerana saya nak bagi pandangan pun saya nak kena pecat? Parti apa yang kita nak suburkan dalam Umno ini?
"Seumpama bila Tengku Adnan kata 'don't cross the line'. Dia cuma Setiausaha Agung. Nak bagi amaran kepada timbalan presiden boleh... kita (saya) nak tegur, dia Setiausaha Agung nak beri amaran kepada Timbalan Presiden parti.
[ARTIKEL BERKAITAN: Ku Nan: Muhyiddin boleh berucap asalkan...]
"Saya Naib Presiden tak boleh nak bagi amaran kepada Setiausaha Agung? Jangan buat...," katanya pada sesi wawancara bersama media, di sini hari ini.
Semalam, Tengku Adnan memberi kata dua kepada Muhyiddin supaya tidak melampaui batas ketika berucap malam tadi, jika tidak mahu tindakan di ambil ke atasnya.
Muhyiddin berucap di hadapan ribuan penyokong Umno dalam majlis bersama Timbalan Presiden Umno di Kuala Lumpur yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Shafie.
Mengulas lanjut, Shafie mengingatkan Umno bahawa tindakannya menegur parti bukan untuk menghancurkan parti keramat itu.
"Umno ini bukan kuat sangat. Apabila sebuah parti tidak kuat berhadapan dengan cabaran, jangan anggap kita kuat.
"Bukan ertinya bila kita bagi pandangan, nak menegur, kita nak matikan Umno. Tidak ada. Tidak terlintas langsung dalam hati kita nak matikan Umno. Takkanlah bodoh, saya selaku Naib Presiden nak matikan Umno?," katanya.
Katanya lagi, memecat ahli bukan menjadikan parti itu kuat.
"Ramai yang kita pecat, jangan anggap kita akan jadi lebih kuat. Kita nak meramaikan ahli, nak meramaikan sokongan bukan mengurangkan sokongan," katanya.
Beliau turut mengakui gembira dan bangga dengan usahanya kepada bangsa serta negara tercinta ini.
"Saya dah buat 'part' saya kepada negara. Mungkin tidak memenuhi sepenuhnya apa orang lain mahu tapi saya masih teruskan. Tak semestinya tanpa jawatan, saya akan berhenti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan