Jumaat, 4 Disember 2015

Dewan Negara perlu sebulat suara halang pewartaan Akta MKN 2015



Oleh Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar 


Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam yang akan dihantar ke sidang Dewan Negara sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk diwartakan bagi membolehkan ia berkuat kuasa sebagai satu akta baharu.

Pada hari pertama sidang Dewan Rakyat kali ini ia menjadi ucapan sepintas lalu perdana menteri tanpa sebarang maklumat terperinci sehinggalah ianya dibacakan buat kali pertama pada 1 Disember lepas.

Pembentangan dan kelulusan Rang Undang-undang MKN 2015 mempunyai implikasi perundangan yang amat besar kepada sistem perundangan negara kita.

Seksyen 5 (a) Rang Undang-undang MKN 2015 menyatakan dengan jelas, walaupun ada mana-mana undang-undang bertulis yang lain, MKN tetap mempunyai kuasa dalam menjalankan fungsinya termasuklah untuk mengawal dan menyelaras entiti kerajaan dalam operasi berkenaan dengan keselamatan negara.

Manakala, Seksyen 5 (b) Rang Undang-undang MKN 2015 pula menyatakan majlis itu mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada mana-mana entiti kerajaan dalam perkara berkaitan keselamatan.

Kesan utama Seksyen 5 (a) ialah ia memindahkan kuasa mutlak ketua polis negara (KPN) yang mempunyai “command and control’’ terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pengerusi Majlis Keselamatan Negara yang juga perdana menteri.

KPN sekalipun dilantik menganggotai ahli MKN kini kehilangan kuasanya terhadap pasukan PDRM sendiri yang diberikan di bawah Akta Polis 1967 kerana Seksyen 5 dimulai dengan proviso, “walaupun ada mana-mana undang-undang bertulis yang lain”, namun MKN tetap berkuasa mengatasi Akta Polis 1967 yang disebut secara halus sebagai entiti kerajaan.

Lebih teruk lagi, kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia yang diberikan oleh Artikel 41 Perlembagaan Persekutuan dan disahkan sekali lagi oleh pelbagai klausa di bawah Seksyen 5, Akta Angkatan Tentera 1972 di mana setiap tindakan tertentu Majlis Angkatan Tentera (MAT) perlu mendapat perkenan/kelulusan/persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, sepertimana yang berlaku pada KPN dalam PDRM yang kehilangan kuasa “command and control” pasukan PDRM, ianya kini pula berlaku pada Panglima Angkatan Tentera dalam ATM yang ketika ini asalnya kuasa ada pada Yang di-Pertuan Agong kini di ambil alih oleh seorang ahli politik iaitu perdana menteri yang di lantik menjadi pengerusi MKN.

Justeru, Seksyen 5 (a) Rang Undang-undang MKN 2015 adalah ultra vires kepada Perlembagaan Persekutuan dan boleh diisytiharkan tidak sah sejak dari azali lagi (void ab initio) atas sebab ianya mengambil kuasa Yang di-Pertuan Agong yang menjadi pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan di bawah Artikel Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 5, Akta Angkatan Tentera 1972.

Keanggotaan Panglima Angkatan Tentera sebagai ahli MKN di bawah Seksyen 6 (g) Rang Undang-undang MKN 2015 juga tidak bermakna apa-apa kerana kuasa diberi kepada pengerusi MKN untuk mengarahkan mana-mana entiti kerajaan berkaitan isu-isu keselamatan.

Justeru, sekali lagi jelas seksyen 5(a) adalah ultra vires Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 5 (b) Rang Undang-undang MKN 2015 pula mengesahkan kehilangan kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Artikel 41 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 5 Akta Angkatan Tentera 1972 serta kehilangan kuasa KPN untuk mempunyai sepenuh “command and control of the police force” di bawah Akta Polis 1967.

Seksyen 5 (b) Rang Undang-undang MKN menyatakan MKN (pengerusi majlis) berkuasa mengeluarkan arahan kepada mana-mana entiti kerajaan berkaitan dengan keselamatan negara.

Tidakkah semua sedar yang Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan KPN disenaraikan dalam senarai 2 paling akhir dalam senarai keanggotaan MKN di bawah Seksyen 6 (g) dan (h) Rang Undang-undang MKN 2015.

Maruah PAT dan KPN di mana agaknya bila diletakkan dalam 2 terakhir daripada senarai 8 orang ahli majlis.

Bagaimanapun, jika maruah kedua dua PAT dan KPN tidak penting, bagaimanakah pula dengan maruah pasukan keselamatan yang di pimpin mereka bila kuasa mereka diambil alih oleh ahli politik sebagai pengerusi MKN?

Bagaimana dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang di nyatakan dengan jelas sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera dalam Artikel 41 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 5, Akta Angkatan Tentera 1972?

Bolehkah satu akta baru diluluskan untuk melanggari artikel Perlembagaan Persekutuan? Satu pengisytiharan ultra vires boleh di buat di Mahkamah bila Rang Undang-undang MKN 2015 diwartakan nanti.

Bagaimanakah kita tahu Entiti Kerajaan bermaksud ATM dan PDRM? Ini jawapannya. Seksyen 3 (a) dan (c) Rang Undang-undang MKN 2015, mendefinisikan entiti kerajaan sebagai mana-mana agensi, pihak berkuasa dan pasukan keselamatan yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

Seterusnya berikutnya juga, Seksyen 3 (a) dan (b) mendefinisikan dengan jelas maksud pasukan keselamatan ertinya (a) Polis Diraja Malaysia (b) Angkatan Tentera.

Sebaik baiknya minggu depan Dewan Negara sebulat suara boleh menghantar balik Rang Undang-undang MKN 2015 kepada Dewan Rakyat atas alasan ia berkemungkinan besar melanggari Perlembagaan Persekutuan seperti yang dinyatakan tadi.

Jika hendak di katakan Dewan Negara tidak mempunyai kuasa berbuat demikian, biarlah Mahkamah yang menentukan namun Dewan Negara patut sebulat suara menghantar kembali Rang Undang-undang MKN 2015 dengan menggunakan sedikit kuasa serta budi bicara yang ada pada presiden negara dan juga Dewan Negara sendiri bagi mengelakkan Dewan Negara digelar, “rubber-stamp’’ pemerintah.

Rang Undang-undang MKN 2015 juga menambahkan lagi penghinaan kepada kehilangan kuasa Yang di-Pertuan Agong, PAT dan KPN dengan adanya seksyen 10 di mana menyebut MKN boleh mengundang orang lain untuk menghadiri mesyuarat bagi menasihati MKN mengenai apa-apa perkara yang sedang dibincangkan. Tiada kriteria disebut mengenai mana-mana orang, adakah ianya juga bermaksud orang yang suka membazir membeli belah di seluruh dunia juga boleh dijemput?

Seksyen 6 Rang Undang-undang MKN 2015 pula dengan jelas melantik perdana menteri sebagai pengerusi MKN yang secara langsungnya memindahkan kuasa keselamatan utama yang dipegang oleh Yang di-Pertuan Agong, PAT dan KPN kepada perdana menteri.

Justeru, jelas Rang Undang-undang MKN 2015 ini adalah ultra vires Perlembagaan Persekutuan dan boleh di anggap “void ab initio” sekalipun selepas diwartakan nanti cuma ianya perlukan formality pengisytiharan oleh Mahkamah sahaja.

Justeru, jawatan ketua pengarah MKN di bawah Seksyen 15(1) dan 16 juga akan mengatasi kuasa keselamatan utama yang telah kita bincangkan tadi dan ia sekali lagi ultra vires, Artikel 41 Perlembagaan Persekutuan.

Bukti Ketua Pengarah MKN lebih berkuasa daripada YDPA, PAT dan IGP boleh dibaca di Seksyen 16 (2) (b) Rang Undang-undang MKN 2015 di mana ketua pengarah MKN berkuasa untuk menyelaras dan memantau dasar dan langkah strategik mengenai keselamatan negara oleh entiti kerajaan.

Lebih teruk lagi segala maklumat risikan di jadikan wajib dilaporkan serta merta oleh entiti kerajaan kepada MKN (Seksyen 17(1) Rang Undang-undang MKN 2015)

Amat menarik untuk membaca seksyen 18(1) yang bermula dengan, “jika majlis menasihati perdana menteri” di manakah seperti yang kita sedia maklum pengerusi majlis ialah perdana menteri adakah ia membawa maksud perdana menteri yang memegang peranan sebagai pengerusi MKN akan menasihati dirinya sendiri sebagai perdana menteri?

Namun yang lebih serius mengenai seksyen 18 Rang Undang-undang MKN 2015 ini mengenai kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan yang memberi kesan yang sama seperti kuasa pengisytiharan darurat yang dimiliki oleh Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, seksyen 18 telah secara efektifnya memindahkan kuasa Yang di-Pertuan Agong kepada pengerusi MKN yang juga seorang perdana menteri.

Ianya sekali lagi ultra vires Perlembagaan Persekutuan dan kali ini Seksyen 18 RUU MKN 2015 adalah ultra vires Artikel 150 (1)- (9) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 150 (1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberikan kuasa proklamasi darurat pada Yang Di Pertuan Agong namun Seksyen 18 (1) RUU MKN 2015 memindahkan kuasa tersebut kepada perdana menteri iaitu ahli politik yang mengetuai parti politik.

Perintah eksekutif Majlis di bawah Seksyen 19 RUU MKN 2015 juga ultra vires Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan.

RUU MKN 2015 juga menggabungkan pasukan tentera dan polis di mana sepatutnya asalnya tugas tentera menjaga sempadan negara daripada ancaman luar. Sempadan negara bermaksud sempadan darat laut dan udara.

Polis asalnya menjaga keselamatan dalam negara dan membanteras jenayah.

Namun semenjak beberapa tahun kebelakangan ini tugas tentera mengawal sempadan negara adanya diambil alih oleh polis, persoalannya sama ada tindakan ini membahayakan keselamatan pasukan polis yang bertugas di sempadan negara kerana asalnya tugas melawan musuh luar sepatutnya diletakkan di bahu tentera.

Kenapa pula polis diperlukan menjaga sempadan negara sedangkan ia tugasan tentera dan sedangkan juga masalah jenayah negara termasuk jenayah berat dilihat bermaharajalela tanpa penyelesaian kecuali statistik yang agak ganjil daripada masa kecemasan mendapati kadar jenayah menurun.

Kini campur aduk tugas polis dan tentera  dapat di lihat dengan jelas di bawah RUU MKN 2015 sebagai contoh seksyen 24, 25, 26, 27,28,29,30 dan 34.

Seterusnya bahayanya Rang Undang-undang MKN 2015 bila seksyen 38 menyatakan MKN tidak boleh di saman dan seksyen 40 RUU MKN 2015 memberikan perlindungan kepada MKN di bawah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.

 Tiada pendakwaan tanpa kebenaran bertulis pendakwa raya (Seksyen 41 Rang Undang-undang MKN 2015) boleh membawa kepada salah guna kuasa dan perbuatan jenayah oleh pasukan keselamatan yang secara definisinya termasuk polis dan tentera.

Jika tadi di bawah seksyen 6, Rang Undang-undang MKN 2015 kita mendapati Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis keselamatan Negara kini jangan terkejut bila perdana menteri mengambil alih fungsi membuat peraturan pula kerana kuasa membuat peraturan diberikan kepada perdana menteri di bawah Seksyen 42 RUU MKN 2015.

Malaysia adalah milik semua rakyat Malaysia dan di payungi oleh Majlis Raja-raja Melayu yang melantik Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan namun kini seolah-olah segala kuasa penting negara di pusatkan di bawah hanya seorang atau beberapa orang manusia sahaja.

Kesan perbuatan ini ialah satu cubaan mengubah sistem pemerintahan kerajaan yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara kita.

Justeru, sekiranya  masih tidak mahu dikaji semula dengan teliti,  tempat yang paling sesuai untuk Rang Undang-undang MKN 2015 ialah sama ada bakul sampah atau ia dikuatkuasakan di kalangan pesakit mental di hospital bahagia. –

* Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar ialah peguam bela & peguam cara.

Tiada ulasan: