Khamis, 10 Disember 2015

Dana RM2.6 bilion dibelanjakan untuk parti?



Oleh Syed Ibrahim Syed Noh


Saya tidak hairan dengan persepsi Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak mendapat sokongan dan Datuk Seri Najib Abdul Razak menerima sokongan. Ini hal dalaman parti dan lebih kepada persepsi.

Namun yang menarik perhatian saya ialah apabila Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, dalam taklimat tertutup presiden Umno bersama pimpinan dan perwakilan semalam, Najib memberitahu beliau membelanjakan semua dana RM2.6 bilion itu untuk parti.

Ya, saya ulangi...beliau membelanjakan semua dana RM2.6 bilion itu untuk parti!

Apakah ada kemungkinan ramai kalangan pimpinan Umno yang peroleh habuan dan 'durian runtuh' daripada dana RM2.6 bilion itu sehingga memberi sokongan padu kepada presidennya?

Apa kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal yang digugurkan sebagai menteri oleh PM?

Katanya, presiden Umno perlu membuktikan sumbangan RM2.6 bilion yang diterimanya, digunakan untuk Umno.

"Beliau perlu membuktikannya. Berapa orang yang terima duit ini? Kalau untuk Umno, kenapa tak dibincangkan dalam Majlis Tertinggi Umno, apa kegunaan dan ke arah mana kita guna duit ini.

"Mungkin cara dia menggunakannya. Dia beranggapan dia presiden, maka ia untuk kebaikan Umno," katanya.

Saya setuju dengan Shafie, ini persoalan akauntabiliti atau pertanggungjawaban, apatah lagi melibatkan wang yang sangat besar dengan jawatan tertinggi negara.

Apakah tidak mungkin ini termasuk di bawah mana-mana daripada 3 kesalahan rasuah yang diketahui iaitu meminta/menerima rasuah, menawar/memberi rasuah dan/atau menyalahgunakan jawatan/kedudukan?

Malah lebih malang lagi, ini mengakibatkan krisis keyakinan kepada Najib sebagai perdana menteri, justeru menjejaskan imej, ekonomi dan politik negara.

Kemuncaknya, rakyat yang menanggung beban sedangkan rakyat sewajarnya menerima keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan.

Atas sebab itu, seperti yang didesak pelbagai pihak, saya menggesa siasatan ke atas dana RM2.6 bilion diselesaikan segera “without fear or favour”, tanpa campur tangan politik dan kuasawan.

Saya juga mendesak Najib berundur daripada semua jawatan atau cuti berehat sehingga siasatan selesai.
Jika tidak dan selama itulah, negara kita akan dirundung malang dengan ekonomi yang merudum, kenaikan harga barang dan kos sara hidup serta tatakelola negara yang caca marba.

Yang terkini ialah kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 14.98% atau 4.99 sen hingga 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan 5 sen bagi Sabah dan Labuan yang akan berkuatkuasa Januari tahun depan.

* Penulis ialah ketua penerangan PKR.

Tiada ulasan: