shahbudindotcom
Sejak
kecil kita selalu diingatkan agar sentiasa bercakap benar dan jangan
sesekali cuba berbohong kerana kebenaran, walau bagaimana sekali pun
cuba diselindung atau dibelitkan, tetap akan muncul akhirnya.
Dalam
masa yang sama, kita juga selalu diingatkan bahawa orang yang berbohong
mudah dikenali kerana jawapannya akan kelihatan berbeza-beza meskipun
soalan yang ditanya adalah sama.
Orang
yang banyak pengalaman berbohong atau kena bohong pula sering
mengingatkan, apabila kita mula berbohong buat kali pertama, kita akan
berbohong lagi buat kali kedua apabila pembohongan pertama tadi mula
disedari kebenarannya atau tidak lagi menimbulkan kepercayaan.
Akibatnya,
bohong kedua cuba ditutup dengan bohong ketiga dan seterusnya demi
seterusnya sehingga akhirnya hidup dalam pembohongan sepanjang masa.
Para
peguam pula selalu mengingatkan orang yang diwakilinya agar jangan
sesekali cuba berbohong dalam memberi keterangan kerana ia akan
membinasa diri serta lebih mungkin menghumban ke penjara kesudahannya.
Hakikatnya,
dalam bentuk dan cara bagaimana sekali pun, pembohongan tidak akan
kekal lama. Ia sama ada akan terbongkar atau disedari ramai akhirnya.
Dalam
isu derma RM2,600 juta yang diterima Najib, dengan mengenepikan semua
perkara lain seperti siapa nama penderma, apa kegunaannya atau di mana
bakinya, sebaliknya untuk mengesahkan jumlah pendermanya sama seorang
atau lebih pun nampaknya seolah-olah begitu ketara adanya ciri-ciri
tidak bercakap benar itu.
Itu
belum dikira lagi jawapan awal Najib yang mengatakannya sebagai fitnah,
konspirasi, mahu mengambil tindakan undang-undang, malah memberi logik
"kalau saya nak menyamun, takkan saya masukkan dalam akaun peribadi".
Dengan
beberapa jawapan yang berbeza-beza, ramai yang mula teringat kepada
pesan orang tua-tua mengenai perbuatan berbohong itu. Kalau seorang yang
menderma, sepatutnya dari awal hingga akhir itulah jawapannya. Begitu
juga kalau lebih daripada seorang, daripada awal lagi diberitahu
sebegitu.
Kenapa susah sangat membezakan antara angka 1 dengan 2,3,4 dan sebagainya?
Pada
peringkat awal, baik Najib Razak, Zahid Hamidi mahu pun lain-lain
pemimpin UMNO yang mahu mempertahankan penerimaan wang itu, mereka
seringkali membayangkan pendermanya hanya melibatkan seorang individu
daripada Timur Tengah saja.
Malah
Zahid Hamidi, tidak lama selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana
Menteri iaitu ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Seri
Gading pada 22 Ogos lalu turut mengesahkan telah menemui wakil keluarga
penderma terbabit yang merupakan ketua pegawai pelaburan dan pemegang
amanahnya.
Tetapi
dua hari lalu Zahid mengatakan pula, penderma itu bukan merupakan
individu, sebaliknya mengatakan ia merujuk kepada pimpinan sebuah
kerajaan.
Mula-mula
didakwa individu, tetapi oleh kerana barangkali menyedari tidak mungkin
ada Pak Arab kaya yang sanggup menderma sebanyak itu, maka ia kemudian
dialih pula mewakili sebuah kerajaan.
Apabila
Tun Mahathir berulangkali menyatakan kebanyakan negara Arab adalah
kedekut berdasarkan pengalamanya meminta derma, termasuk untuk membina
UIA, malah ada yang membalasnya dengan memberi kitab sahaja, jawapan
seterusnya bahawa penderma dikatakan lebih daripada seorang pula.
Zahid dengan selamba mengatakan pendermanya adalah lebih daripada seorang.
Begitu
juga dengan Najib, dengan mula-mula mengatakan penderma adalah seorang
yang murah hati mahu melihat UMNO terus menang pilihanraya, namun dalam
majlis taklimat presiden baru-baru ini beliau ada menyebut derma itu
diterima daripada kabilah-kabilah di Timur Tengah.
Dalam
interbiu dengan beberapa media sejak dua tiga hari lalu sempena
Perhimpunan Agung UMNO, Najib juga lebih kerap menyebut
penderma-penderma dan bukannya penderma lagi.
Maknanya, Najib dan Zahid sudah ke arah mahu meyakinkan bahawa penderma wang itu ialah lebih daripada seorang.
Bagaimanapun,
SPRM yang telah pergi Timur Tengah untuk menyiasat dan mengambil
keterangan mengenai wang itu mengesahkan hanya menemui penderma tunggal
saja dan bukannya lebih daripada seorang saja.
Kata-kata
siapa yang mahu kita terima pakai sebenarnya? Najib dan Zahid Hamidi
sebagai orang politik atau SPRM yang bekerja berdasarkan fakta?
Jika
Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin keliru mengenai jumlah penderma, ia
mungkin boleh diterima, tetapi tentulah pelik bin ajaib apabila Najib
yang menerima duit pun tidak dapat memberi jawapan yang konsisten
mengenai jumlah orang yang memasukkan duit ke dalam akaunnya.
Dalam
hal ini Bank Negara tentu dapat mengesahkan sama ada wang yang diterima
Najib itu dimasukkan melalui satu pemindahan saja atau lebih daripada
itu. Jika banyak pemindahan yang berlaku dan sumbernya berlainan,
barangkali boleh diterima jika ia diberikan oleh lebih daripada seorang.
Tetapi,
bagaimana jika hanya ada satu pemindahan saja yang berlaku? Atau kalau
lebih daripada satu pemindahan wang yang berlaku, sumbernya pula tetap
sama?
Adakah jawapan yang berbeza-beza ini menampakkan pembohongan mungkin sudah berlaku sejak awal lagi?
Cumanya,
berdasarkan pesan orang tua-tua juga, berbohong sikit-sikit atau
melakukannya sekali dua kadangkala memang menyeronokkan, tetapi
pembohongan tidak pernah kekal lama, malah ramai yang terbelit di
pertengahan jalan lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan