Selasa, 22 Disember 2015

Bolehkah Umno- PAS Bekerjasama ?

Oleh Mohammad Agus Yusoff


Saya tidak tanya wajarkah UMNO-PAS bekerjasama, tetapi saya tanya bolehkah? Menjawab pertanyaan ini, ramai yang kata boleh kerana kedua-dua parti ini mempunyai persamaan: pemimpin dan ahlinya sama-sama orang Melayu dan Islam. Saya juga kata boleh, tetapi sukar.

Mengapa sukar?

Pertama, kedua-dua parti ini ada kesilapan politik masing-masing. PAS ada kesilapan dengan Amanatnya di Bukit Paradong yang memecahkan umat Melayu dan Islam.
UMNO ada kesilapannya di Memali yang juga memecahkan umat Melayu dan Islam. Luka dari dua kesilapan ini, jikapun telah sembuh, meninggalkan kesan parut besar yang payah dihilangkan.

Kedua, parti ini berbeza ideologi. Hudud adalah perjuangan utama PAS. Jadi, sekiranya kerjasama ini hendak berjaya, UMNO perlulah memenuhi syarat ‘hudud’ PAS. Saya tidak yakin parti-parti komponen bukan Islam dalam BN boleh bersetuju dengan 'syarat hudud' PAS ini.

Ketiga, arah tuju kerjasama ini tidak jelas. Adakah ini sekadar kerjasama dalam hal-hal tertentu sahaja atau kedua-dua parti ini hendak bergabung? Pemimpin UMNO dan PAS tidak tegas dalam hal ini menyebabkan penyokong kedua-dua parti ini keliru tentang arah tuju kerjasama ini.

Keempat, masih ramai ahli dan pemimpin kedua-dua parti yang tidak menyokong idea kerjasama ini.
Jadi, bagaimana mahu menjayakan kerjasama ini?

Kawan saya kata, caranya ialah dengan UMNO dan PAS bergabung, bukannya bekerjasama. Dengan bergabung ini, lantiklah PM Najib menjadi Presiden dan TG Haji Hadi sebagai timbalannya.

Itu kata kawan saya.

Kata saya pula ialah bekerjasamalah dengan menjaga kesejahteraan rakyat. Atasi tekanan hidup rakyat, perkemaskan dasar-dasar yang menekan rakyat.

Selepas itu, angkatlah perubahan yang dibuat itu sebagai hasil dari kerjasama UMNO-PAS.

Jika ini dapat dilakukan, saya yakin orang Melayu boleh menerima kerjasama UMNO-PAS dengan senang hati.

Ini kerana makna kerjasama UMNO-PAS dalam hati rakyat adalah apabila pemimpin boleh menjaga kesejahteraan hidup mereka

Tiada ulasan: