Oleh Sahril Mahmuddin
Dalam perbezaan yang bermusim ini, kita sebagai umat Islam sering terlupa titik persamaan kita.
Setiap kali menjelang perayaan Hari Natal yang disambut oleh segenap
teman-teman yang beragama Kristian, pastinya timbul satu isu yang hangat
diperdebatkan setiap tahun. Dipersoalkan sama ada boleh atau tidak kita
mengucapkan selamat atas perayaan Hari Natal ini.
من تشبه بقوم فهو منهم
“Sesiapa yang menyerupai satu-satu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka”.
Hadis diatas menyokong pandangan bahawa haram mengucapkan selamat
bagi perayaan agama lain.
Terdapat beberapa ulama yang berpendapat
mengucapkan selamat adalah sebahagian daripada syiar agama mereka dan
ini adalah bentuk tasyabbuh (menyerupai) yang dimaksudkan dalam hadis.
Apabila berkisar mengenai penyerupaan agama lain, sudah pasti ia
merupakan masalah yang berkait dengan aqidah.
Namun demikian, terdapat juga fatwa kontemporari yang menyokong
keharusan mengucapkan selamat ke atas perayaan agama lain seperti yang
diputuskan oleh Lembaga Fatwa dan Penyelidikan Eropah.
وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat
(seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang
lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).
Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”
Mereka yang melihat keharusan ucapan selamat tidak melihat ini
sebagai isu aqidah dan melibatkan pengiktirafan kekufuran agama lain.
Sebaliknya melihat ia sebagai bentuk kebajikan selagi mana tidak
melanggar syarak.
Perbezaan pendapat yang disokong hujah dan dalil yang kuat ini sepatutnya diraikan.
Namun, perkara sebaliknya berlaku kerana terdapat golongan yang
ekstrim dengan pendapat mereka. Ini tidak selari dengan konsep berlapang
dada yang dianjurkan dalam menghadapi perbezaan. Saban tahun perbalahan
yang kita dengari, hinggakan mereka yang menyokong pendapat boleh
mengucapkan selamat untuk perayaan ini dilihat sebagai golongan yang
salah.
Dari sisi pandang lain pula, keadaan ini tidak ubah seperti perang
apabila pihak yang dikecam dengan pendapat mereka membalas dengan
melemparkan label yang tidak disenangi seperti jumud dan sebagainya.
Dalam perbezaan yang bermusim ini, kita sebagai umat Islam sering
terlupa titik persamaan kita.
Persamaan yang bersifat Qat’ie atau jelas
yang telah disyariatkan dan wajib kita perjuangkan bersama.
Dalam berbeza, kita lupa kita masih inginkan hidup dalam keharmonian dengan kepelbagaian agama di negara yang kita cintai ini.
Dalam berbeza, kita lupa kita sama-sama perlu menolak kezaliman dan penindasan terhadap golongan yang tidak terbela.
Dalam berbeza kita lupa kita sama-sama perlu membela nasib rakyat
miskin yang dizalimi kerana semakin ditekan oleh kos hidup tinggi hasil
dari tidak telusnya pemerintahan negara.
Dalam berbeza, kita lupa kita masih lagi beriktiqad dengan pegangan aqidah yang sama.
Ini semua syariat yang perlu kita perjuangkan bersama.
Saya menyeru agar semua mahasiswa Islam agar mengharmonikan perbezaan
yang bersifat khilaf, rapatkan saf dan perjuangkan perkara yang jelas
disyariatkan.
Sahril Mahmuddin adalah Presiden Kelab Sahabat Al Hikmah UMSKAL (Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan