Khamis, 16 April 2015

Zam: Bodohkah semua pengarang akhbar?

MALAYSIAKINI


 


"Bodohkah semua ketua pengarang akhbar sehingga tidak nampak nilai berita ini?" bentak bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Beliau berkata demikian dalam blognya ketika mengulas tindakan media arus perdana menggelapkan berita sokongan diberi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan pelakon Rozita Che Wan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zainuddin yang lebih dikenali dengan nama Zam berkata, mungkin pengarang akhbar menganggap Siti Nurhaliza (bawah) sebagai "berbahaya" sehingga mereka enggan menjadikan kenyataan penyanyi popular itu sebagai berita dalam media masing-masing.

"Jika tidak berbahaya, masakan semua akhbar diminta membenamkan berita ini," katanya.

Bagaimanapun, kata Zam, harus diingat berjuta-juta orang sudah membaca kenyataan dua selebriti berkenaan melalui media sosial.

Bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu juga berkata, sokongan Siti Nurhaliza lebih daripada mencukupi untuk menutup ribuan sokongan lain yang diberi seluruh bahagian Umno kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Suara Siti Nurhaliza berada di hati pencintanya dan kejelitaan Rozita dalam kesederhanaannya menutup kejelitaan wanita-wanita yang berpakaian atau berbarang kemas berjuta ringgit.

"Sokongan dalam pilihanraya tidak hanya berasaskan kepercayaan politik," katanya.

Menurut Zam, mungkin wajah selebriti terbabit yang digelarnya "artis rakyat" kini digeruni kerana suara dan wajah mereka berada di lubuk hati orang ramai. 


Tiada ulasan: