THE MALAYSIAN INSIDER
Susulan pelaksanaan cukai
barangan dan perkhidmatan (GST) hingga menyaksikan kenaikan harga
barangan, PKR mendapati kuasa membeli rakyat terutama warga emas kini
menurun secara mendadak.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata trend penurunan membeli
warga emas amat membimbangkan kerana golongan tersebut paling terkesan
dengan kenaikan harga barang.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata GST tidak hanya menyebabkan
harga barangan asas meningkat naik, ia termasuk ubat-ubatan apabila
tidak semua dikenakan dengan kadar sifar GST.
"Pada 8 April lepas, Fomca mendapati harga barangan meningkat sebanyak
20 hingga 30% berbanding harga dicadangkan buku panduan harga yang
dikeluarkan kerajaan.
"Secara keseluruhannya, golongan berpendapatan rendah, termasuk warga
emas adalah antara yang paling terkesan dengan kenaikan harga ini,"
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nurul Izzah berkata warga emas tidak lagi mempunyai pendapatan tetap
dan tiada pekerjaan untuk menanggung kehidupan dan berdepan dengan GST.
Katanya, kebimbangan itu berdasarkan situasi peningkatan harga
ubat-ubatan menyebabkan warga emas tidak akan mampu membeli ubat kerana
menumpukan perbelanjaan mereka ke atas barangan asas lain.
"Ini akan membawa kesan jauh lebih buruk, yang mungkin menyebabkan
penyakit atau keadaan kesihatan serta kualiti hidup warga emas berada di
luar kawalan," katanya.
Beliau berkata, meskipun kerajaan menambah jenis ubat-ubatan yang
berkadar sifar, hakikatnya masih lagi banyak ubat penyakit seperti
tekanan darah tinggi dikenakan GST.
"Januari lepas, Malaysian Pharmaceutical Society (MPS), Malaysian
Community Pharmacy Guild (MCPG), Pharmaceutical Association of Malaysia
(PhAMA), Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) dan
Malaysian Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS) mengeluarkan
kenyataan sebenarnya hanya 320 jenis ubat dikadarkan sifar di bawah GST.
"Ini disebabkan walaupun dalam Senarai Ubatan Penting Kebangsaan (NEML)
terdapat 4,200 jenis ubat, namun sebenarnya ubatan sama dihasilkan
syarikat berlainan dikira beberapa kali. Sebagai contoh, parasetamol
yang dihasilkan pelbagai syarikat dikira sebagai 17 ubatan berlainan
oleh kerajaan," katanya.
Nurul Izzah berkata beberapa harga ubat didapati meningkat antara 20%
hingga 50% pada 2014 dan dijangka naik mendadak pada tahun ini.
Sehubungan itu, katanya, Putrajaya perlu dengan segera mengambil
langkah membatalkan pelaksanaan GST sehingga rakyat benar-benar bersedia
menerima rejim percukaian ke atas kepenggunaan.
"Warga emas juga kini terpaksa berbelanja lebih untuk barangan seperti
lampin pakai buang dewasa serta makanan tambahan seperti Milo dan susu.
"Dalam lawatan saya ke Pasar Taman Seri Sentosa hari ini, majoriti
warga emas yang saya temui mengeluh tentang kenaikan harga barang
disebabkan GST," katanya.
Beliau berkata sudah terbukti impak GST adalah lebih besar ke atas
golongan yang berpendapatan rendah berbanding golongan pendapatan
tinggi.
"Ini menunjukkan kegagalan kerajaan untuk memastikan rejim cukai yang baru ini sebagai rejim cukai yang progresif," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan