MALAYSIAKINI
Umno bahagian Rompin hanya mahu ahli jawatankuasa bahagian itu dipilih
sebagai calon BN untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK)
Parlimen Rompin pada 5 Mei depan.
Pemangku Ketuanya, Datuk Hasan Arifin berkata bahagian itu sebulat suara
memutuskan untuk menolak mana-mana calon luar yang dicalonkan atas
tiket BN.
"Kami menyerahkan kepada kebijaksanaan presiden parti Datuk Seri Najib
Tun Razak untuk memutuskan calon BN. Namun, pemilihan hendaklah dalam
kalangan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Rompin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan
mesyuarat khas persiapan PRK Rompin di pejabat Umno Bahagian itu di
Rompin, hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Naib Ketuanya, Datuk Seri Maznah Mazlan,
Setiausaha Datuk Wan Kadri Wan Mahussin dan Ketua Penerangan bahagian
itu, Datuk Jalaluddin Mohamed Deli.
Hasan turut mengelak ketika diajukan soalan bahawa namanya antara disebut-sebut menjadi calon.
"Kita serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti," katanya ringkas.
Beliau berkata Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual
akan mengumumkan calon BN bagi PRK Rompin pada 18 April ini.
Hasan menjangkakan antara cabaran yang terpaksa dihadapi PRK kali ini
ialah meningkatkan majoriti serta jumlah peratusan keluar mengundi
berikutan hari mengundi jatuh pada hari bekerja.
PRK kawasan Parlimen Rompin diadakan berikutan penyandangnya Tan Sri Dr
Jamaluddin Jarjis meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas
helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April lalu.
Allahyarham menjadi anggota parlimen Rompin sejak enam penggal lepas
bermula tahun 1990 dan pada pilihan raya umum tahun 2013, beliau berjaya
menewaskan Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti
15,114 undi.
Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh
pengundian PRK Parlimen Rompin pada 5 Mei depan manakala hari penamaan
calon pada 22 April ini.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan