Selasa, 21 April 2015

Lesen motosikal...perlukah sampai RM350?



Oleh Marhaini kamaruddin 


KENYATAAN keras Ketua Trafik Polis Bukit Aman hendak menyaman ibu bapa yang membenarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen sah ke sekolah, disambut dengan perasaan berbaur. Ada yang menyokong, tidak kurang yang mengeluh.

Penulis yakin rata-rata yang menyokong, tidak mempunyai anak yang menunggang motosikal ke sekolah. Yang mengeluh pula, bukan menentang, namun mempunyai alasan-alasan tersendiri untuk tidak menyokong 100 peratus.

Tidak dapat dinafikan tindakan membenarkan anak remaja menunggang motosikal tanpa lesen sah, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab. Ibu bapa sebagai orang dewasa sepatutnya menasihati anak-anak yang belum cukup umur ini agar mematuhi undang-undang, bukannya menggalakkan mereka melanggar peraturan.

Sebagai pengguna jalan raya di Malaysia, kebanyakan daripada kita pasti pernah merasai pengalaman atau setidak-tidaknya melihat aksi kurang menyenangkan remaja bermotosikal. Aksi daring anak-anak remaja menunggang motosikal secara berbahaya memang boleh membuatkan kita sesak nafas melihatnya.

Bagi anak-anak remaja ini yang ‘berani mati’ berlumba di jalan raya sebagai mat rempit, penulis tidak ada hala­ngan jika pihak polis hendak mengambil tindakan ke atas mereka.

Saman sekali ibu bapa yang membenarkan anak-anak ini bermaharajalela di atas jalan raya dengan aksi-aksi yang membahayakan diri mereka dan pemilik kenderaan lain.

Kalau hendak mengenakan saman maksimum RM300 ke atas ibu bapa terlibat pun penulis setuju.
Bagaimanapun, penulis berharap Op Roda yang dilancarkan ke seluruh negara mulai bulan lalu untuk mengekang gejala anak sekolah menunggang motosikal tanpa le­sen itu, dapat dijalankan mengikut budi-bicara.

Motosikal bukan ken­deraan mewah. Motosikal bukan pilihan orang berada sebaliknya menjadi medium pengangkutan rakyat biasa, golongan marhaen macam penulis.

Kebanyakan ibu bapa terutama di kawasan pinggir bandar, pekan kecil dan kampung-kampung menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama untuk bergerak ke mana-mana termasuk menghantar anak ke sekolah. Menjadi pemandangan biasa juga bagi anak-anak remaja ‘yang sudah boleh dipercayai’ menunggang sendiri motosikal ke sekolah. Lazimnya anak-anak ini sudah di sekolah menengah atas dan ‘cukup besar’.

Sementara penulis menyokong Op Roda dijalankan bagi menahan remaja yang menunggang motosikal tanpa lesen sah ‘secara berbahaya’, penulis merasakan mereka yang menggunakannya secara berhemah sebagai medium peng­angkutan untuk ke sekolah tidak patut menerima hukuman yang sama.

Penulis percaya sekiranya berpeluang mengambil le­sen, anak remaja sekolah ini tidak teragak-agak berbuat demikian. Apatah lagi memiliki lesen sendiri semacam satu kemegahan bagi anak-anak remaja.

Namun seperti yang kita maklum, motosikal bukan kenderaan mewah. Yang menggunakannya pun bukan orang mewah dan berada.

Lainlah pemilik motosikal berkuasa tinggi yang harga­nya mencecah ratusan ribu ringgit, tentu sahaja kadar lesen RM900 yang perlu dibayar tidak memberi kesan apa-apa.

Namun bagi rakyat marhaen yang kebanyakannya hanya mampu menunggang motosikal ‘kapcai’ berkuasa rendah, jumlah RM350 yang perlu dikeluarkan untuk mengambil lesen cukup besar buat mereka.

Bayangkan pula bagi ibu bapa yang terpaksa menanggung keluarga, lagilah perit hendak mengeluarkan wang sebanyak itu untuk membolehkan anak remaja mereka mengambil lesen.

Akibatnya ramai yang dengan berat hati ‘membenarkan’ anak masing-masing menunggang motosikal tanpa lesen ke sekolah, bukan berpeleseran ke mana-mana pun.

Penulis faham niat baik pihak berkuasa, baik polis mahupun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan operasi menahan remaja menunggang motosikal tanpa lesen sah.

Seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini, jumlah insiden kemalangan maut melibatkan pelajar berusia 16 tahun ke bawah, dari awal tahun sehingga Mac lalu, adalah membimbangkan iaitu sebanyak 309 kes. Sepanjang tahun lalu sahaja, sejumlah 290 kes kematian pelajar dicatatkan.

Namun penulis lebih percaya gejala ini boleh diben­dung sekiranya prosedur pengambilan lesen menunggang motosikal bahkan lesen memandu kereta dipermudahkan dan lebih penting lagi affordable - iaitu ditetapkan kadarnya pada harga yang berpatutan.

Penulis tidak kisah dengan kadar harga lesen motosikal berkuasa tinggi yang mencecah RM1,000 kerana pemilik­nya memang berkemampuan.

Jika harga rumah mampu milik boleh ditetapkan had si­lingnya pada kadar patut, yang berupaya dibeli oleh golong­an berpendapatan rendah, penulis tidak lihat ada halangan untuk JPJ menetapkan satu kadar rata yang minimum, yang mampu dibayar oleh rakyat marhaen, hatta oleh ibu bapa untuk anak remaja masing-masing.

Penetapan kadar lesen, katakanlah pada harga RM150, tentu sahaja akan menggalakkan lebih ramai rakyat mengambil lesen yang sah.

Jika menjadi kenyataan, akan mewujudkan situasi menang-menang dari segi peningkatan jumlah pemegang lesen motosikal dan pada masa sama, mengurangkan kemalangan jalan raya melibatkan golongan ini.

Maklumlah, anak remaja ini sudah mengikuti kelas dan mendapat latihan cara-cara menunggang motosikal yang betul. Malah lebih penting lagi, mereka tidak perlu ‘mencelah’ untuk melarikan diri setiap kali bertembung dengan polis trafik yang menjalankan Op Roda kerana telah memiliki lesen yang sah.

Tiada ulasan: