MALAYSIAKINI
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan telah menerima notis
pemberitahuan mengenai kekosongan kerusi kawasan Parlimen Rompin
daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari
ini.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sehubungan itu
suruhanjaya berkenaan akan mengadakan satu mesyuarat khas dalam masa
terdekat bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan proses
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.
"Antara tarikh yang akan ditentukan dalam mesyuarat khas itu adalah
penamaan calon, pengundian awal, pengundian biasa dan menentukan daftar
pemilih yang akan diguna pada PRK Parlimen Rompin," katanya kepada
Bernama hari ini.
Abdul Aziz menjelaskan SPR perlu mengadakan mesyuarat khas jika berlaku
kekosongan kerusi sama ada bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan
Negeri (DUN) tidak awal daripada empat hari dan tidak lebih daripada 10
hari dari tarikh penerimaan notis pemberitahuan kekosongan sesuatu
kerusi.
"Menurut Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu
mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari dari tarikh berlaku kekosongan,"
katanya.
PRK Rompin perlu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Tan Sri
Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Sabtu lalu.
Selain Jamaluddin, tragedi itu turut mengorbankan lima yang lain
termasuk Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin
Alias, juruterbang helikopter Clifford William Fournier Jr, pembantu
operasi Aidana Baizieva, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan
pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei 2013, Jamaluddin yang juga
Pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengekalkan kerusi kawasan
tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan
bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti
15,114 undi.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan