PERMATANG PAUH: Kawasan Parlimen Permatang Pauh bukan sahaja berdepan
isu 'sendirian berhad' tetapi juga soal pembangunan dan anggota Parlimen
yang boleh membawa pembaharuan, kata Ketua Wanita Umno Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata maklum balas daripada peringkat akar umbi menyatakan
pengundi di Permatang Pauh mengutamakan pembangunan dan sudah bosan
dengan janji kosong pakatan pembangkang.
"Walaupun Permatang Pauh dikatakan kubu kuat (pakatan) pembangkang
tetapi dalam politik macam-macam boleh berlaku ... misalnya maklum balas
pengundi rasa terkilan kerana sekian lama tidak ada pembangunan jika
dibandingkan dengan kawasan Parlimen Barisan Nasional (BN)," katanya.
Shahrizat berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas
mesyuarat bersama-sama Ketua Wanita BN dan Pengerusi Badan Perhubungan
UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman di Permatang Pauh hari
ini.
Katanya maklum balas juga mendapati pengundi di Permatang Pauh jemu
dengan corak politik 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' yang melibatkan calon hanya
daripada anggota keluarga sahaja dan tidak ada perubahan setelah 17
tahun menanti.
"Maklum balas menyatakan sebenarnya pengundi di sini mahukan
pembangunan dibawa secepat mungkin ke Permatang Pauh. Jadi jika itu
hasrat mereka, mungkin kita (BN) ada peluang tetapi ia terpulang kepada
pengundi. Tugas saya dan BN adalah menyiapkan jentera dan turun padang,"
katanya.
Shahrizat berkata jentera Wanita Umno telah siap dan akan dilancarkan
selepas penamaan calon pada 25 April nanti dan semangat anggota wanita
juga berkobar-kobar untuk menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Permatang
Pauh ini.
Beliau berkata pendekatan Wanita Umno adalah bercakap benar dan membawa
maklum balas daripada peringkat akar umbi kepada kerajaan supaya
penambahbaikkan dapat dibuat.
Katanya pendekatan Wanita Umno juga adalah untuk menyakinkan pengundi
bahawa masanya sudah tiba untuk pembangunan melalui anggota Parlimen BN
kerana mereka dahagakan pembangunan dan bukannya dengar cakap kosong
yang membawa derita ekoran kedaifan di Permatang Pauh.
PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas kerusi itu diisytihar
kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan
sebagai ahli Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi
pengampunan diraja yang dipohon keluarga Anwar atas sabitan meliwat
bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April ini hari penamaan
calon manakala pengundian awal 3 Mei dan hari pengundian 7 Mei.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan