Roketkini.com
KUALA LUMPUR: DAP hari ini mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mengarahkan siasatan dibuat ke atas individu yang terlibat dalam protes salib di Taman Medan semalam.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, Najib perlu mengarahkan siasatan jika beliau mahu menonjolkan imej negara sebagai sederhana dan toleransi, terutama di saat Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2015 minggu depan.
Tegas Charles, seruan ke arah kesederhanaan oleh Najib kepada pihak antarabangsa tidak akan kelihatan jujur jika beliau sendiri tidak bertindak ke atas protes tersebut.
“Jelas sekali laungan Najib adalah palsu. Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN minggu depan.
“Saya tertanya-tanya apa sebenarnya yang akan beliau bawa dalam mesyuarat tersebut nanti.
“Oleh itu Najib, saya amat berharap bahawa anda benar-benar bermaksud dengan apa yang anda katakan apabila bercakap tentang kesederhanaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 akan berlangsung di Kuala Lumpur dan Langkawi pada 26 dan 27 April ini.
Malaysia mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi ASEAN daripada Myanmar bermula 1 Januari lalu.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendakwa protes salib di Petaling Jaya tidak melibatkan unsur hasutan.
Dakwa beliau, kejadian itu tidak menyentuh isu agama sebaliknya ia hanya merupakan isu masyarakat setempat.
Namun demikian, Charles yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor menegaskan dakwaan Khalid jelas sama sekali mengarut.
“Rasional kepimpinan tertinggi polis (Khalid) bahawa protes gereja itu tidak berunsur hasutan kerana ia tidak menyentuh kepercayaan penganut Kristian tidak masuk akal,” ujar Charles. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan