Sabtu, 18 April 2015

Pindaan Akta Hasutan: Rakyat akan hukum ahli parlimen BN

pix for wawancara tony pua DALAM

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir ahli parlimen yang mengkhianati rakyat dengan menyokong pindaan Akta Hasutan minggu lalu akan mendapat pembalasan dalam pilihanraya umum akan datang.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, rakyat Malaysia muak dengan perilaku kerajaan mengenai pelaksanaan akta tersebut, termasuk tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terang-terangan mengabaikan bantahan disuarakan ahli parlimen pembangkang.

“Kami menyeru semua rakyat Malaysia yang meluat dengan perilaku kerajaan yang telah melakukan penghinaan terhadap badan perundangan untuk menyatakan bantahan.

“Cara paling berkesan adalah dengan mengenalpasti ahli parlimen yang menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Hasutan.

“Secara khususnya, rakyat Malaysia harus mensasarkan ahli parlimen yang menyokong RUU di kawasan-kawasan di mana mereka menang dengan majoriti tipis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 10 April lalu, pindaan Akta Hasutan diluluskan selepas dibahaskan selama 14 jam dengan kiraan undi 108 daripada BN dan 79 dari Pakatan Rakyat.

Hampir semua wakil rakyat PR hadir di Parlimen bagi membahas dan mendesak pindaan itu tidak diluluskan kerana tidak memberi sebarang manfaat untuk rakyat dan berpotensi disalahgunakan.

Setiausaha Publisiti DAP itu menyatakan, terdapat 11 kawasan yang dimenangi BN dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi iaitu Baram, Teluk Intan, Labis, Bentong, Sungai Besar, Kuala Selangor, Beaufort, Machang, Titiwangsa, Pasir Gudang dan Ketereh.

“Satu kempen bersepadu oleh pengundi di kawasan pilihanraya ini dalam masa dua hingga tiga tahun akan menyaksikan Ahli Parlimen tersebut disingkirkan kerana mengkhianati hak demokrasi rakyat Malaysia,” tegasnya.

Beliau turut menyenaraikan kawasan dimenangi BN dengan majoriti kurang daripada 2,000 undi, yang berpotensi untuk digantikan pada PRU akan datang.

Kawasan tersebut adalah Kuala Kangsar, Bagan Serai, Arau, Setiawangsa, Balik Pulau, Tebrau, Kulim Bandar Baru dan Sabak Bernam.

“Selain itu, empat Ahli Parlimen lain yang menang dengan majoriti lebih 2,000 undi, tapi akan hilang kerusi itu jika tidak kerana pertandingan tiga atau empat penjuru adalah di Pensiangan, Mas Gading, Ranau dan Tenom.

“Ini adalah 23 ahli parlimen di kerusi marginal yang menyokong secara membuta tuli pindaan zalim Akta Hasutan dan usaha untuk menyingkirkan mereka dari Parlimen pada PRU akan datang bermula hari ini,” tegasnya.

Tony turut menyarankan pengundi di kawasan tersebut menulis surat kepada Ahli Parlimen masing-masing dan meminta penjelasan mengapa mereka membenarkan undang-undang yang tidak demokratik dan tidak adil seperti itu diluluskan. – Roketkini.com


Tiada ulasan: