Selasa, 14 April 2015

Pindaan Akta Hasutan, POTA, POCA bungkam suara mahasiswa

140412-demo mansuhkan ptptn-dataran merdeka (44)

  Roketkini.com


KUALA LUMPURR: Pindaan Akta Hasutan yang memperkenalkan elemen baru seperti penjara mandatori tiga tahun minima, peluasan skop undang-undang meliputi media elektronik dan denda lebih tinggi membungkam kebebasan bersuara dan kebebasan berfikir mahasiswa.

Mahasiswa Ganyang Akta Hasutan (GANYANG) dalam kenyataannya hari ini turut mengecam pengenalan akta baru seperti Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), selain pindaan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang membawa unsur tahanan tanpa bicara.

“Pindaan ini bertentangan dengan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 16 September 2011 untuk menjadikan Malaysia negara demokrasi terbaik,” kenyataan Vince Tan, penyelaras GANYANG dipetik.

Vince yang juga mahasiswa jurusan undang-undang Universiti Malaya berkata, pengenalan hukuman penjara mandatori menghakis kuasa mahkamah untuk memutuskan hukuman yang disabitkan kesalahan menghasut.

“Kini mahkamah terpaksa mengenakan hukuman penjara kepada pesalah, dan mitigasi oleh pesalah untuk mengurangkan hukuman penjara tersebut tidak dapat dilakukan kerana wajib mengenakan hukuman yang berasaskan provisi undang-undang,” ujarnya.

GANYANG sebelum ini bersama-sama masyarakat sivil dalam gabungan Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) telah dua kali ke Parlimen bagi menghalang pindaan tersebut dari diluluskan.

Tambahnya, penyalahgunaan Akta Hasutan dibimbangi sebagai alat untuk mendakwa ahli politik pembangkang, aktivis sosial, ahli akademik dan juga mahasiswa.

“Namum, suara mahasiswa tidak didengari oleh badan perundangan kita yang terus meluluskan pindaan tersebut.

“Hari ini kita melihat undang-undang digubal dan disalahgunakan untuk menutup suara rakyat yang mengkritik dasar-dasar pihak kerajaan dan cara mereka mentadbir negara.

“GANYANG menyeru orang awam mengambil balik ruang awam kembali daripada Putrajaya.

“Akta Hasutan ini berkait rapat dengan semua orang, dan bukan sahaja individu yang terkenal dalam arena politik dan aktivisme.” ujarnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: